HomeUtamaLebuhraya Pan Borneo Jadi Pemangkin Pembangunan Sosioekonomi Negeri

Lebuhraya Pan Borneo Jadi Pemangkin Pembangunan Sosioekonomi Negeri

Read Time:2 Minute, 18 Second

Kota Kinabalu: Projek pembinaan 17 pakej kerja Lebuhraya Pan Borneo Sabah (LPB Sabah) Fasa 1B dengan kos RM9.7 bilion merupakan satu pelaburan strategik yang berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi Sabah.

Pengarah Pusat Pembangunan Ekonomi dan Dasar, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Saizal Pinjaman, berkata jaringan jalan raya yang lebih efisien, selamat, dan moden itu akan meningkatkan lagi aksesibiliti ke kawasan pedalaman seperti Kota Belud, Kudat, Tawau, Telupid, dan Ranau, sekali gus mengurangkan kos logistik dan masa perjalanan.

“Ini dijangka merangsang pertumbuhan sektor-sektor utama seperti pertanian, ekopelancongan, dan perindustrian, terutama di kawasan yang mempunyai potensi ekonomi tinggi sepanjang jajaran.

“Selain itu, projek ini juga mampu membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pengaliran masuk pelaburan, dan menyumbang kepada pengurangan kadar kemiskinan di Sabah, yang masih berada di paras tinggi berbanding purata nasional,” katanya ketika dihubungi oleh Sabah Media di sini.

Infografik Pengumuman Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan di dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Dr. Saizal menambah bahawa tempoh pembinaan bagi Pakej Kerja Fasa 1B adalah antara 36 hingga 48 bulan, dengan kos pembangunan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Katanya, meskipun manfaatnya signifikan, beberapa cabaran perlu diberi perhatian untuk memastikan keberkesanan projek.

“Pengurusan projek perlu menekankan aspek mutu pembinaan, kepatuhan kepada piawaian kos dan masa, serta keselamatan di tapak pembinaan.

“Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya Sabah juga perlu memainkan peranan penting dalam pemantauan bagi memastikan kontraktor memenuhi tanggungjawab mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Saizal berkata, integrasi pembangunan infrastruktur dengan strategi ekonomi yang lebih luas, seperti pelan pembangunan wilayah dan pelan penggunaan tanah, akan memastikan manfaat projek dapat dimaksimumkan secara menyeluruh.

“Projek LPB Sabah bukan sahaja membangun infrastruktur fizikal tetapi juga membuka jalan untuk pembangunan yang lebih inklusif dan mampan bagi negeri ini,”

Dalam pada itu, Fasa 1B Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dijangka siap pada September 2028 dalam usaha menyediakan infrastuktur jalan raya lebih baik untuk rakyat negeri ini

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya, berkata Fasa 1 projek berkenaan terbahagi kepada Fasa 1A yang dijangka siap Oktober 2026 dan Fasa 1B, dengan keseluruhan Fasa 1 itu melibatkan 35 pakej  bagi pembinaan jalan raya sepanjang 706 kilometer (km).

Menteri Kerja Raya negeri itu berkata menerusi Fasa 1 sebanyak empat pakej kerja telah disiapkan, 28 pakej kerja sedang dalam pembinaan, dua pakej kerja dalam peringkat memuktamad perolehan manakala satu pakej kerja dalam peringkat pengeluaran surat setuju terima.

“Fasa 2 melibatkan jajaran Tamparuli-Ranau dengan anggaran jarak sekitar 98 km dan Fasa 3 jajaran Kimanis-Keningau-Kalabakan-Tawau dengan jarak sekitar 432 km masih di peringkat perancangan katanya di dalam sidang Dun Sabah baru-baru ini. 

RELATED ARTICLES
Utama

Tuduhan jahat, tidak ada asas, cetek akal, dangkal – Redonah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular