Ikan susu, atau nama saintifiknya Chanos chanos, semakin mendapat perhatian di Malaysia sebagai sumber protein alternatif yang kaya dengan khasiat. Dikenali sebagai ‘Bangus’ di Filipina dan ‘Bandeng’ atau ‘Bolu’ di Indonesia, ikan ini bukan sahaja digemari kerana rasa isinya yang lemak dan lembut, tetapi juga kerana nilai nutrisi yang tinggi.
Khasiat Nutrisi Ikan Susu
Ikan susu merupakan sumber protein berkualiti tinggi yang kaya dengan pelbagai nutrien seperti Vitamin A, B12, B6, B-Complex, dan Omega-3. Nutrien ini penting untuk:
- Kesihatan tulang: Menyokong kekuatan dan ketumpatan tulang.
- Fungsi hati dan buah pinggang: Membantu dalam proses detoksifikasi badan.
- Mengurangkan keradangan: Menyokong sistem imun dan mengurangkan risiko penyakit kronik.
- Penurunan berat badan: Kandungan protein dan astaxanthin, antioksidan semula jadi, membantu dalam proses metabolisme lemak.

Kepelbagaian Masakan Ikan Susu
Sebagai bahan masakan, ikan susu amat versatil. Ia boleh diolah menjadi pelbagai hidangan seperti Laksa ikan susu, Asam pedas, Ikan salai, Breaded (disalut roti).
Malah ramai penggemar turut menyukai juadah ini yang dimasak Goreng berlada ataupun dibakar, kukus, atau pais.
Dengan keupayaan untuk disesuaikan dalam pelbagai jenis masakan, ikan susu berpotensi menjadi pilihan utama dalam menu rakyat Malaysia.
Peningkatan Pengeluaran dan Potensi Ekonomi
Menurut statistik terkini, pengeluaran ikan susu di Malaysia pada tahun 2024 mencapai 4,203.59 tan metrik, dengan nilai borong sebanyak RM37.08 juta. Negeri Kedah menjadi penyumbang terbesar dengan pengeluaran 3,700.80 tan metrik, diikuti oleh Johor (454.97 tan metrik) dan Sabah (46.51 tan metrik).
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Dato’ Haji Adnan bin Hussain, menyatakan bahawa pencapaian ini menunjukkan kesinambungan peranan ikan susu sebagai spesies utama dalam industri perikanan negara. Dengan peningkatan nilai pasaran, ikan susu berpotensi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa.
Sokongan Teknologi dan Penternakan

Ikan susu dikenali sebagai spesies yang mudah diternak dengan kos operasi rendah. Ia hanya memerlukan makanan berprotein rendah serta memiliki daya tahan penyakit yang tinggi. Jabatan Perikanan Malaysia terus menyokong industri ini dengan memperkenalkan teknologi penternakan moden seperti:
- Sistem kolam
- Sistem sangkar
Ikan Susu sebagai Alternatif Mampan

Selain menjadi sumber protein untuk manusia, ikan susu turut diiktiraf sebagai bahan makanan ternakan yang mampan. Ini mengurangkan kebergantungan kepada sumber import dan menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
Jabatan Perikanan Malaysia menyeru rakyat untuk menjadikan ikan susu sebagai sebahagian daripada sajian harian mereka. Langkah ini bukan sahaja menyokong industri akuakultur tempatan tetapi juga mengurangkan tekanan kepada sumber perikanan tangkapan yang semakin terjejas akibat perubahan iklim.
Kesimpulan
Dengan manfaat kesihatan yang tinggi, kepelbagaian dalam penyediaan makanan, dan potensi ekonomi yang besar, ikan susu berupaya memainkan peranan penting dalam menjamin bekalan protein negara.
Sokongan rakyat terhadap ikan susu diharap dapat, Memperkukuh sektor akuakultur tempatan, Meningkatkan kemandirian makanan serta Menyumbang kepada pembangunan industri perikanan yang mampan dan berdaya saing