Oleh NORMIMIE DIUN
PAPAR: Gabungan usaha sektor swasta dan kerajaan, Papar dijangka muncul sebagai destinasi pelancongan yang mapan, menyumbang kepada ekonomi negeri Sabah serta meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
Justeru, projek Kinarut Palm City dilancar hari ini merupakan salah satu projek penting oleh WSG Group sebagai komitmen syarikat itu menyumbang ke arah transformasi daerah ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelancaran projek ini bukan sahaja akan merangsang pembangunan sektor peruncitan tetapi turut membawa impak ekonomi yang besar kepada penduduk setempat.
“Saya bagi mewakili semua ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada WSG Group kerana kehadiran mereka di Papar ini bukanlah baru tetapi sejak sekian lama.
“Kehadiran mereka pembangunan yang telah WSG Group bawa ke Papar ini telah menjadi sebahagian besar daripada perubahan kepada landskap pembangunan di kawasan Papar ini.
“Sesungguhnya kita amat menghargai dan kita mengharapkan supaya bukan hanya projek Kinarut Palm City ini kita tahu, WSG Group ada lagi tanah-tanah lain di kawasan Papar ini, kita mengalu-alukan untuk pembangunan berterusan dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah Kinarut Palm City di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Urusan WSG Group Datuk Susan Wong Siew Guen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Datuk Gulam Khan Haidar dan ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, dengan kedudukannya yang strategik berhampiran Kota Kinabalu, projek ini dijangka meningkatkan potensi ekonomi tempatan serta menyumbang kepada pembangunan berterusan di Papar.
Selain Kinarut Palm City, Armizan turut memaklumkan tiga projek utama lain turut menjadi pemacu sektor pelancongan di kawasan ini termasuk pembangunan resort oleh Sinyi Group dan InterContinental Hotels Group (IHG)di atas tanah seluas 35 ekar, projek Mujur Lagenda yang melibatkan pembangunan resort lima bintang di kawasan Suangon, Kinarut, seluas 100 ekar dan Kompleks Kebudayaan Sabah di Kinarut dengan majlis pecah tanah yang dijadualkan berlangsung pada 25 Januari ini, majlis dijangka disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya mengharapkan hasrat kita untuk jangka masa panjang menjadikan Papar ini khususnya Parlimen Papar sebagai satu hab pelancongan baharu yang menarik bagi negeri Sabah,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Armizan berkata kewujudan pembangunan di parlimen ini juga merupakan kepentingan pelancongan desa dalam membina ekosistem holistik di Papar.
“Pelancong yang menginap di resort-resort mewah akan ditawarkan aktiviti tambahan seperti lawatan ke kampung-kampung untuk menikmati produk pelancongan tempatan.
“Kerjasama dengan agensi kerajaan juga dirancang untuk memperkenalkan pusat sehenti bagi pelancong membeli cenderamata hasil kraf tangan komuniti setempat,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru mana-mana pihak yang terlibat dengan pembangunan masa depan di Papar turut mengambil kira aspek infrastruktur seperti jalan raya, sistem perparitan, dan saliran, demi memastikan impak positif kepada seluruh penduduk daerah ini.
“Mana-mana juga pihak yang terlibat dengan pembangunan di Papar ini, kita amat alu-alukan namun pada masa yang sama kita harap pembangunan mereka itu juga mengambil kira infrastruktur lain sebagaimana dilakukan oleh WSG Group, pastikan jalan raya, akses jalan raya, sistem perparitan dan saliran.
“Kita tidak mahu ada kesan sampingan bukan hanya kepada penduduk yang akan masuk tetapi juga kepada penduduk sedia ada di kawasan ini kita mahu semuanya mendapat impak yang positif hasil daripada sesuatu pembangunan,” tegasnya.
Sementara itu, projek Kinarut Palm City terdiri daripada 65 unit lot kedai yang merangkumi 54 unit lot kedai dua tingkat, 10 unit lot kedai tiga tingkat, dan satu unit lot komersial satu tingkat.