Kota Kinabalu : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain,66, meninggal dunia jam 11.20 malam di Hospital Pakar KPJ di sini pada Ahad.
Berita itu dikongsikan ahli keluarga dan rakan terdekat Allahyarham selepas pemergiannya tular di media sosial tengah malam tadi.
Jenazah Allahyarham malam tadi dibawa ke Masjid Negeri di Sembulan, di sini, untuk pengurusan jenazah, sebelum dibawa pulang ke kediamannya di Taman Khong Lok, Sandakan.
Jenazah Allahyarham kemudian akan dibawa ke Masjid Pengiran Galpam, Batu 7 Sandakan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bintang Baru, Rancangan Sungai Manila, Sandakan, sebelum Zohor nanti.
Semalam, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dilaporkan sempat melawatnya ketika masih menjalani rawatan di Hospital Pakar KPJ.
Arwah dilaporkan ditahan di hospital berkenaan pada Rabu selepas terkena serangan jantung tetapi dilaporkan stabil sebelum dikhabarkan meninggal dunia malam tadi.
Mohd Hamsan yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16), September 2020 dengan majoriti 1,538 undi.
Beliau menggantikan Tun Musa yang menyandang kerusi berkenaan selama beberapa penggal. – SABAH MEDIA