Oleh – Wan Azrain Adnan
Pada Disember 2024, Perdana Menteri Malaysia melancarkan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO), sebuah inisiatif penting yang mencerminkan hasrat negara untuk menjadi peneraju teknologi kecerdasan buatan (AI) di peringkat serantau. Penubuhan NAIO seiring dengan matlamat strategik Kerajaan Malaysia dalam mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab teknologi dan inovasi AI.
NAIO dan Peranannya
NAIO bertujuan untuk membina ekosistem AI yang mampan dan beretika melalui pelbagai inisiatif utama. Antaranya termasuk:
- Pembangunan Kerangka Kawal Selia yang menggalakkan penggunaan AI secara mampan dan beretika.
- Penyediaan Kod Etika AI bagi memastikan pematuhan etika dalam keseluruhan ekosistem AI.
- Memacu adaptasi teknologi AI di peringkat nasional.
Melalui Belanjawan 2025, kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM10 juta kepada NAIO untuk merealisasikan objektif ini.
Agenda Ekonomi Digital
Penubuhan NAIO dijangka menjadi pemacu utama dalam memperkasa agenda ekonomi digital negara. Teknologi dan aplikasi AI dikenalpasti sebagai teras penting yang dapat menyemarakkan inovasi tempatan, menarik pelaburan berteknologi tinggi, dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Dalam usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi, Malaysia kini berusaha keluar daripada perangkap “middle-income nation,” sebagaimana yang telah dicapai oleh negara seperti Taiwan dan Korea Selatan.
Transformasi Digital Negara

Perjalanan Malaysia dalam membina ekonomi digital bermula pada tahun 1990-an dengan pelancaran Multimedia Super Corridor (MSC). Melalui pelbagai insentif, MSC telah berjaya menarik pelaburan tempatan dan antarabangsa serta mencipta ekosistem teknologi yang kukuh. Sejak tahun 2022, MSC telah dijenamakan semula kepada Malaysia Digital (MD) bagi memperkukuhkan ekonomi digital yang mampan dan inklusif.
Transformasi digital negara juga menyaksikan pembangunan infrastruktur teknologi seperti liputan telekomunikasi 4G dan 5G. Menjelang tahun 2023, rangkaian 5G telah meliputi 80.2% populasi negara, meningkat daripada 47.1% pada tahun sebelumnya. Dengan peratusan isi rumah yang memiliki akses kepada komputer, telefon mudah alih, dan internet melebihi 99%, rakyat kini menikmati pelbagai manfaat teknologi moden.
Isu dan Cabaran
Walaupun pencapaian dalam transformasi digital amat memberangsangkan, jurang digital antara bandar dan luar bandar masih ketara. Sebagai contoh:
- Liputan internet: bandar (98.4%) berbanding luar bandar (89.8%).
- Pemilikan komputer: bandar (94.2%) berbanding luar bandar (82.8%).
- Akses saluran TV berbayar: bandar (80.8%) berbanding luar bandar (64.1%).

Kerajaan diingatkan agar tidak terlalu ghairah meningkatkan liputan teknologi tanpa mengambil kira kemampuan rakyat luar bandar untuk menikmati kemudahan yang disediakan. Ketidaksediaan rakyat untuk menggunakan teknologi terkini, terutamanya dalam sektor pertanian, juga menjadi cabaran besar. Penggunaan teknologi seperti dron untuk meracun dan membaja perlu dipertingkatkan melalui pendekatan insentif (‘carrot’) dan denda (‘stick’).
Ke Arah Malaysia Digital yang Mampan
Dalam usaha membina ekonomi digital yang kukuh, Kerajaan Malaysia menetapkan sasaran sumbangan ekonomi digital kepada KDNK sebanyak 25% menjelang tahun 2025, berbanding 23.5% pada tahun 2023. Malah, Malaysia dijangka menjadi pasaran pusat data ketiga terbesar di Asia selepas Jepun dan India, dengan pelaburan sebanyak RM114.7 bilion diluluskan antara tahun 2021 hingga 2023.
Dengan memanfaatkan teknologi AI dan pembangunan ekonomi digital, Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat sebagai negara berpendapatan tinggi. Walaubagaimanapun, usaha ini perlu disertai dengan komitmen menyeluruh daripada semua pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta, dan rakyat.
Penutup
NAIO bukan sekadar simbol transformasi digital negara, tetapi juga harapan untuk mencipta masa depan yang lebih cerah melalui inovasi teknologi. Dengan pendekatan strategik dan kolaborasi bersepadu, Malaysia mampu menjadi pemimpin teknologi di rantau ini dan melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara maju.