Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Sabah bakal menjadi tuan rumah penganjuran Pameran Antarabangsa Koko Malaysia (MICF) buat julung kalinya pada tahun ini yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, pameran yang buat pertama kalinya diadakan di luar Kuala Lumpur itu diadakan selama empat hari bermula 24 Mei depan.

Katanya, pameram itu dianjurkan Lembaga Koko Malaysia (LKM) dengan sokongan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
“Sabah merupakan penyumbang utama kepada pengeluaran koko negara yang menyumbang 60 peratus daripada keseluruhan pengeluaran produk koko Malaysia.
“MICF 2025 ini berperanan sebagai platform penting untuk membincangkan isu-isu utama dan peluang dalam industri koko global, termasuk pengeluaran biji koko premium serta penglibatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Pra – Pelancaran MICF 2025 di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) Datuk Matbali Musah dan Ketua Pengarah LKM Datuk Dr Ramle Kasin.

Chan berkata, negara kini dalam pemprosesan koko dan pembuatan coklat ‘beans- to-bar’.
Katanya, pihaknya turut menyokong sepenuhnya penganjuran MICF 2025 sebagai acara antarabangsa yang memperkukuh kerjasama dengan badan-badan dan agensi-agensi antarabangsa.
“Antaranya seperti International Cocoa Organization (ICCO), Cocoa Association of Asia (CAA), dan ASEAN Cocoa Club (ACC),” katanya.
Dalam pada itu, Chan berkata, pameran itu dijangka menarik lebih 1,000 peserta untuk persidangan dan majlis makan malam, serta 25,000 pengunjung perdagangan dan awam.
Katanya, dengan lebih daripada 100 pempamer yang telah mengesahkan penyertaan, pameran itu juga akan turut mengadakan program seperti International Cocoa Business Matching (ICBM), forum, pembentangan kertas kerja, dan lawatan lapangan pasca acara.
Terdahulu, pra – pelancaran itu bertujuan menarik minat para pemain industri, pemegang taruh, dan orang awam untuk menyertai secara langsung dalam aktiviti yang ditawarkan.
Pelbagai produk coklat dari ‘beans-to-bar’, termasuk coklat premium dan artisan, dipamerkan sebagai ‘teaser’ sebelum acara utama berlangsung pada bulan Mei. – SABAH MEDIA