HomeUtamaLebih RM10 juta diperlukan laksana pembaikan infrastruktur di Pitas akibat banjir

Lebih RM10 juta diperlukan laksana pembaikan infrastruktur di Pitas akibat banjir

Read Time:1 Minute, 51 Second

Pitas : Lebih RM10juta peruntukan diperlukan bagi melaksanakan pembaikan beberapa buah jalan, jambatan serta titian yang rosak akibat bencana banjir.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Dr. Ruddy Awah berkata, daerah Pitas kini berdepan dengan masalah kerosakan infrastruktur akibat bencana banjir yang melanda baru-baru ini dan memerlukan perhatian segera. 

“Lazimnya selepas banjir reda, jalan-jalan kampung, jambatan gantung, dan titian yang rosak akibat banjir memerlukan peruntukan besar untuk dibaiki. Dianggarkan sekurang-kurangnya RM10 juta diperlukan untuk membaiki infrastruktur yang rosak. 

“Kos pembinaan jambatan gantung sahaja boleh mencecah RM400,000 hingga RM500,000 dan kita berharap kerajaan negeri dan pihak Persekutuan dapat menyalurkan peruntukan ini dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Pekan Pitas II yang menempatkan 430 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan jumlah keseluruhan 1,184 orang di sini, semalam.

Ruddy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas berkata, pihaknya yang Kerajaan Sabah dan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri serta Ketua Menteri akan mempertimbangkan permohonan peruntukan tersebut untuk kesejahteraan rakyat di daerah ini.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pegawai Pendidikan Daerah dan pihak sekolah kerana membenarkan fasiliti tersebut digunakan sebagai PPS sementara.

“Setiap tahun, Pitas berdepan cabaran banjir, namun banjir kali ini lebih besar dan tidak dijangka, dengan air naik mendadak dalam masa sejam. 

“Ini memberi tekanan kepada pihak keselamatan dan petugas daerah untuk bertindak pantas menyelamatkan mangsa-mangsa banjir,” katanya.


Dalam pada itu, Ruddy berkata dengan persediaan awal pihak Pejabat Daerah dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat, semua mangsa banjir dapat dibawa ke pusat-pusat pemindahan sementara dengan selamat.

“Pejabat Daerah dan semua agensi terlibat telah bersedia sejak sebulan yang lalu, dengan mesyuarat dan persiapan awal diadakan bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

“Tiada istilah cuti bagi mereka, walaupun pada hari Jumaat atau Sabtu, semua petugas bertindak mengikut SOP yang ditetapkan bagi memastikan  keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan penduduk supaya mengutamakan keselamatan diri dan keluarga apabila berlaku bencana serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan apabila diarahkan oleh pihak berkuasa untuk berpindah.

Banjir besar yang melanda Pitas sejak beberapa hari lalu adalah akibat hujan lebat tanpa henti menyebabkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan ke tujuh PPS.

RELATED ARTICLES
Utama

Cederakan ‘kekasih gelap’, dua wanita dikenakan PKW

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular