Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat daripada Sarawak iaitu Zecon Berhad bagi membangunkan sebuah projek perumahan pelajar di kawasan strategik di Kota Kinabalu yang terletak bersebelahan Fakulti Perubatan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Projek ini bakal dibangunkan di atas tanah milik MUIS dengan keluasan 15 ekar dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM1.3 Billion.
MUIS dalam satu kenyataan berkata, usahasama itu dimeterai melalui Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MUIS dan ZECON Berhad yang disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Arif bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Menurut kenyataan itu, MoU itu telah mendapat kelulusan daripada Kabinet Kerajaan Negeri Sabah pada 12 November 2024.
“Projek ini bakal menjadi projek perintis yang menawarkan konsep pembangunan serba moden dan komprehensif. Projek ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa. Fasa Pertama akan dimulakan dengan pembangunan penginapan bagi pelajar dan kakitangan yang berfokuskan kepada keselesaan dan praktikal.
“Fasa Kedua, penyediaan kemudahan berteraskan komuniti termasuk pembangunan Masjid, Tadika dan Pusat Asuhan Kanak- Kanak. Fasa Ketiga, pula dirancang bagi pembinaan hab komersial yang melibatkan lot kedai, perkhidmatan apartmen, perpustakaan, gimnasium, kafeteria dan perkhidmatan harian yang lain.
“Pembangunan projek yang dirancang ini adalah berteraskan kepada kecemerlangan akademik, perkembangan peribadi dan hubungan komuniti setempat,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Projek ini dijangka akan bermula pada akhir tahun ini yang melibatkan pembangunan tanah milik MUIS seluas 15 ekar.
Menurut MUIS, lebih 500 hingga 600 peluang pekerjaan akan diwujudkan, meliputi sektor profesional, pentadbiran, dan buruh.
“Sebanyak 1,610 unit apartmen akan dibina dan mampu menampung sehingga 6,732 pelajar tempatan dan antarabangsa serta kakitangan. Pemilikan tanah akan terus kekal di bawah MUIS dengan kaedah konsep pembangunan Build, Lease, Maintain & Transfer (BLMT),” tambah kenyataan itu lagi.
Zecon Berhad mempunyai pengalaman yang luas dalam sektor Pembinaan, Sektor Infrastruktur air, Sektor Pembangunan Hartanah, Sektor Tenaga Bolehguna dan Sektor Kesihatan.
Zecon Berhad juga berpengalaman menyelesaikan lebih daripada 40 projek utama dengan nilai projek RM4.5 bilion.
Selain itu, beberapa pencapaian utama Zecon Berhad seperti pembinaan kampus baru Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS) bernilai RM750 juta, Projek Lebuhraya Pan Borneo 74-KM fasa 1 (Pakej Kerja 3) bernilai RM1.35 billion, Projek Jambatan Tun Salahudin Sarawak sepanjang 339 meter bernilai RM136 juta, Projek Skim Bekalan Air Triang Negeri Sembilan (terowong pemindahan air, empangan, dan loji rawatan) bernilai RM241 juta dan Projek Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (243 Katil, tempat letak kereta bertingkat dan hotel 54 bilik) yang bernilai RM606 juta di Cheras, Kuala Lumpur. – SABAH MEDIA