Kinabatangan: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah disaran untuk mempertingkatkan lagi peranan dan keupayaan Pusat Perlindungan Gajah Borneo sebagai sebuah tarikan pelancongan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew berkata, Pusat Perlindungan Gajah Borneo yang ditubuhkan pada 2013 itu merupakan sebahagian daripada Pusat Perlindungan Hidupan Liar Kinabatangan.

Katanya, pusat itu menjadi habitat kepada dua ekor gajah dewasa, empat ekor gajah muda, dan dua ekor anak gajah.
“Terdapat banyak ruang untuk pembangunan pemuliharaan dan pelancongan memandangkan hanya 32 hektar daripada 26,000 hektar Pusat Perlindungan Hidupan Liar Kinabatangan telah dibangunkan setakat ini.
“Pelawat yang tidak dapat melihat gajah di sepanjang Sungai Kinabatangan melalui bot akan datang ke siji untuk melihat lebih dekat mamalia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan ke Pusat Perlindungan Gajah Borneo di sini.
Dalam lawatan itu, Christina turut diberikan taklimat oleh Pegawai Hidupan Liar Daerah Kinabatangan dan Tongod, Sylvia Alsisto.
Sylvia berkata, Pusat Perlindungan Hidupan Liar Kinabatangan yang terletak di sepanjang Sungai Kinabatangan diwartakan pada tahun 2005 sebagai kawasan penting untuk pemuliharaan hidupan liar di Sabah.
“Pusat ini menjadi habitat kepada pelbagai spesies ikan, burung, mamalia, reptilia dan amfibia,” katanya.
Pusat Perlindungan Gajah Borneo memainkan pelbagai peranan untuk menjadi sebuah pusat pemulihan sementara untuk gajah yang diselamatkan.
Selain itu, pusat itu juga menjadi Pusat kemudahan rawatan untuk gajah yang cedera dan kemudahan latihan dan proses pemulihan gajah.
Semasa lawatan tersebut, Christina berpeluang mendekati dua anak gajah yang comel bernama Agatis, seekor betina berusia dua tahun, dan Amuak, seekor jantan berusia 18 bulan. – SABAH MEDIA