HomeUtamaKPDN laksana tiga inisiatif rakyat sempena Tahun Baru Cina 2025

KPDN laksana tiga inisiatif rakyat sempena Tahun Baru Cina 2025

Read Time:2 Minute, 17 Second

PERAK: Menjelang sambutan Tahun Baru Cina pada 29 Januari 2025, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan tiga inisiatif rakyat bagi meringankan kos sara hidup.

Inisiatif ini termasuk Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina, Program Jualan Rahmah Madani (PJRM), dan Program Servis Ihsan Madani@Petronas AutoExpert (SIM@PAX).

SHMMP Tahun Baru Cina 2025 akan dikuatkuasakan mulai 25 Januari hingga 2 Februari 2025, dengan tempoh pelaksanaan selama sembilan hari, iaitu empat hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan, dan empat hari selepas perayaan.

Sebanyak 16 jenis barangan yang akan dikawal di bawah skim kali ini seperti ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor), udang putih (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram), kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing), ubi kentang import (China), Bawang Putih (China), Halia Tua (Import), Lobak Merah, Lobak Putih, Babi Hidup, Daging Babi (Perut), Daging Babi (Daging dan Lemak), Cili Merah, Bawang Kuning Besar (Semenanjung Malaysia sahaja), Bawang Merah Besar Import, Sawi Pendek / Sawi Jepun, Kepak Ayam (Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja).

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pematuhan harga maksimum di peringkat borong dan runcit boleh disemak melalui laman web KPDN.

Katanya, pegawai penguat kuasa KPDN akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik seperti pasar awam dan pusat membeli-belah untuk memastikan peniaga mematuhi peraturan dan melindungi kepentingan pengguna.

“Kementerian akan terus menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan Skim.

“Kerajaan berharap semua pihak mematuhi harga yang telah ditetapkan, dan barangan yang dikawal harganya mesti menggunakan label merah jambu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Armizan, tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan ini, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun bagi individu yang melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Selain itu, katanya, KPDN juga meneruskan inisiatif PJRM yang bertujuan meringankan kos sara hidup rakyat sempena perayaan. Sejak dilancarkan pada Oktober 2024, sebanyak 472 PJRM Tahun Baru Cina telah dilaksanakan di seluruh negara sehingga 20 Januari 2025.

“Program baru di bawah Payung Rahmah Madani, iaitu SIM@PAX, turut dilancarkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah. Program ini menawarkan diskaun antara 10% hingga 30% untuk perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan dan produk minyak pelincir di 95 bengkel Petronas AutoExpert di seluruh negara, yang boleh ditempah melalui aplikasi SETEL.

“Kami berharap inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan, terutama dalam menghadapi cabaran kos sara hidup pada musim perayaan ini,” ujar Armizan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau laporan mengenai pelanggaran peraturan boleh menghubungi KPDN melalui WhatsApp di 019-848 8000, pusat panggilan 1-800-886-800, e-mel di [email protected], atau aplikasi Ez ADU KPDN.

RELATED ARTICLES
Utama

Pejalan kaki maut dalam kemalangan langgar lari di Lido

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular