Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Bantuan berupa peralatan bagi menjalankan perniagaan berjumlah lebih RM15,000 diserahkan kepada tiga penerima menerusi pelaksana Program Cakna Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Tabung Haji (TH).
Pengarah PERKESO Sabah Mohd Ali Hindia berkata, program yang berteraskan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu berupaya memberi impak kepada pembangunan tenaga kerja dan penjanaan pendapatan dalam kalangan pencarum PERKESO.

“Pada hari ini kita menyerahkan sumbangan bantuan berbentuk peralatan kepada tiga penerima terdiri dari mereka yang dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kita telah bekerjasama dengan pihak TH untuk melaksanakan program ini menerusi CSR.
“Mereka ini sebenarnya berupaya dan berpotensi untuk meneruskan kelangsungan hidup berdasarkan kemampuan fizikal mereka. Dengan bantuan strategik berkolaborasi dengan TH Sabah, kita dapat membantu pencarum-pencarum PERKESO, terutama mereka yang kehilangan upaya ini, untuk mendapat kemahiran baru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan peralatan kepada penerima terlibat di perkarangan Wisma PERKESO Sabah di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah TH Sabah Yusdi Nasip.
Ali berkata, penerima bantuan yang juga merupakan peserta dibawah Program ‘Return To Work’ (RTW) itu juga mampu membina peluang kedua dan dapat meningkatkan sosial ekonomi keluarga.
“Kalau kita di Sabah ini, program RTW ini sebenarnya sudah lama sejak 2007 lagi sudah di negeri ini dan seluruh Malaysia pada amnya. Untuk makluman untuk bilangan pencarum PERKESO yang berjaya kembali bekerja daripada 2017 sehingga 2024 sebanyak lebih kurang 3,804 kes di Sabah.
“Untuk Sabah sahaja, bagi program Cakna Prihatin ini, iaitu ia telah bermula pada September 2022 dan keseluruhan penerima yang telah mendapat bantuan Cakna ini adalah sebanyak lebih 200 orang,” katanya.
Terdahulu, antara penerima bantuan adalah Aalia Jamila Mohd Yusop; Mohd Faizal Abdullah dan Ali Yusuf Hassan. – SABAH MEDIA