HomeUtamaSekolah Cina, Mubaligh dan rumah ibadat bukan Islam di Sabah terima peruntukan...

Sekolah Cina, Mubaligh dan rumah ibadat bukan Islam di Sabah terima peruntukan RM70 juta

Read Time:1 Minute, 31 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan negeri telah memperuntukan sebanyak RM70 juta kepada sekolah Cina, Mubaligh dan rumah ibadat bukan Islam di Sabah pada tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jumlah tertinggi yang pernah diberikan itu adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam memenuhi keperluan setiap kumpulan.

Katanya, komitmen Kerajaan Negeri untuk menyokong program rakyat tanpa sebarang prejudis tidak harus diragui.

Beliau percaya bahawa Karnival Tahun Baru Cina bukan sahaja dihadiri oleh masyarakat Cina tetapi juga oleh pelbagai komuniti lain yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan di Sabah.

“Kita menyambut perayaan satu sama lain bersama-sama, yang telah memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Karnival Tahun Baru Cina di Padang Merdeka di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew.

Hajiji turut menasihatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan elemen negatif yang bertujuan untuk merosakkan perpaduan.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kepada masyarakat Cina di Sabah atas sokongan padu mereka terhadap Kerajaan Negeri dalam memastikan agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat berjalan dengan lancar.

“Adalah penting untuk kita semua kekal bersatu dan melindungi keamanan, keharmonian, dan kestabilan politik kita untuk memastikan kemajuan dan pembangunan Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata pertumbuhan dan ekonomi negeri akan terjejas tanpa kestabilan politik.

Beliau mengaitkan pencapaian Kerajaan Negeri tahun lalu yang berjaya mengumpulkan hampir RM7 bilion dalam hasil pendapatan dan menarik RM1.7 bilion pelaburan domestik dan asing kepada kestabilan politik.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sabah atas sokongan dan kepercayaan berterusan mereka terhadap Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) untuk memimpin negeri ini,” katanya.

Hajiji juga memuji Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) kerana bekerjasama erat untuk memastikan kejayaan karnival ini. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

511 kilogram sampah berjaya dikutip di pantai Tanjung Lipat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular