Kota Kinabalu : Kerajaan negeri akan mewujudkan taman perindustrian baharu di Kudat, sebagai tambahan kepada taman perindustrian sedia ada di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia adalah bertujuan untuk menarik lebih ramai pelabur sekali gus membangunkan kawasan di utara Sabah.
“Usaha kita mengadakan taman perindustrian baharu di Kudat bukan sahaja untuk meningkatkan ekonomi negeri tetapi juga berupaya memberi peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Pembangunan taman perindustrian di Kudat ini adalah satu kerjasama pintar antara kerajaan dan pemilik tanah yang terbabit.
“Konsepnya, kita akan menyewa tanah yang terlibat dalam taman itu sekali gus memberi pendapatan kepada mereka yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengarah Penyiaran Sabah yang baharu, Mohd Yusni Mohamed Ali.
Kunjungan hormat itu turut disertai Timbalan Pengarah Penyiaran Sabah, Cyril Simon,
Hajiji berkata, selain aspek pelaburan dan tiga tonggak utama dalam Sabah Maju Jaya (SMJ), banyak lagi yang telah dilaksanakan kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat termasuk bantuan dan pemberian biasiswa.
”Ini adalah antara usaha kerajaan negeri untuk membangunkan modal insan di negeri ini. Justeru, saya mahu Jabatan Penyiaran Sabah membantu menyampaikan segala inisiatif dan agenda kerajaan kepada rakyat hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.
Selain itu katanya, Jabatan Penyiaran Sabah juga perlu memberi fokus untuk menguar-uarkan program yang dilaksanakan kerajaan khususnya tiga tonggak utana Hala Tuju SMJ iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan, hingga ke peringkat akar umbi.
Katanya, beberapa pelaburan utama yang sudah beroperasi di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) antaranya Kumpulan Kibing dan SK Nexilis, juga perlu diberi tumpuan untuk disebarluaskan kepada rakyat.
Beliau berkata ini termasuk syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. berpengkalan di Singapura yang membawa pelaburan bernilai RM20 bilion dalam projek Green Steel di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
“Projek ini dilaksanakan dalam tiga fasa juga akan mencipta ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.
Terdahulu, dalam kunjungan hormat itu, Mohd Yusni turut berkongsi beberapa perancangan program-program RTM untuk dilaksanakan di negeri ini.
Kunjungan itu juga bertujuan mengeratkan hubungan antara RTM selaku agensi penyiar rasmi kerajaan dengan kerajaan negeri Sabah, khususnya dalam menyebar luas agenda pembangunan negeri. – SABAH MEDIA