HomePendapatDari Davos ke ASEAN - Malaysia sebagai pemacu perubahan serantau

Dari Davos ke ASEAN – Malaysia sebagai pemacu perubahan serantau

Read Time:2 Minute, 13 Second

PUTRAJAYA – Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dijangka membawa hala tuju baharu bagi memperkukuh kedudukan blok serantau sebagai entiti bersatu, progresif, dan relevan di peringkat global.

Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS Malaysia), Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah berkata, dengan tema ‘Inklusiviti dan Kelestarian’, Malaysia memberi penekanan terhadap pertumbuhan ekonomi yang berpusatkan rakyat dan sensitif terhadap isu alam sekitar.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos baru-baru ini, menegaskan keperluan untuk memperkukuh infrastruktur, menyelaraskan peraturan, dan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meningkatkan perdagangan intra-ASEAN. Pendekatan ini dijangka membuka potensi besar bagi negara-negara anggota,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Malaysia juga berusaha mempertahankan perpaduan serantau ASEAN di tengah-tengah persaingan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China.

“Pertikaian di Laut China Selatan menjadi salah satu isu utama yang akan ditangani Malaysia dengan mengutamakan prinsip undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Undang-Undang Laut PBB 1982 (UNCLOS). Selain itu, Malaysia juga komited untuk menyokong penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN sebagai anggota penuh,” jelasnya.

Dalam pada itu, krisis di Myanmar terus menjadi keutamaan, dengan Malaysia berusaha memastikan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (Five-Point Consensus).

“Malaysia akan terus berusaha memujuk junta Myanmar melaksanakan konsensus tersebut. Dialog inklusif amat penting untuk mendekati penyelesaian politik, selain menangani cabaran kemanusiaan yang mendesak,” tambahnya.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika sesi ‘Asean Pleanary’ sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland pada 22 Januari 2025. – AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This photos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the image or facts mentioned in the caption. Reuse of the pictures may require further permission. MANDATO

Malaysia turut memberi tumpuan kepada transformasi digital serantau melalui Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) serta penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN. Inisiatif ini memberi penekanan terhadap teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan blockchain.

Dalam usaha menangani perubahan iklim, Malaysia bercadang mempercepat peralihan tenaga kepada sumber boleh diperbaharui melalui projek seperti ASEAN Power Grid. Sokongan antarabangsa dalam bentuk pembiayaan iklim dan pemindahan teknologi juga diserukan bagi memastikan peralihan tenaga yang adil dan mampan.

Dengan lebih 60 peratus populasi ASEAN berumur bawah 35 tahun, Malaysia optimis bahawa blok ini mampu menjadi kuasa ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030. Oleh itu, negara komited untuk melabur dalam modal insan, mengurangkan kemiskinan, serta meningkatkan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Pendekatan strategik ini menunjukkan keazaman Malaysia untuk memimpin ASEAN ke arah masa depan yang lebih kukuh, bersatu, dan progresif di tengah-tengah cabaran global yang semakin mencabar.

RELATED ARTICLES
Utama

Warga emas baru jalani pembedahan dibantu berpindah ke PPS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular