KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) telah mengambil tindakan tegas terhadap insiden kemalangan elektrik yang semakin membimbangkan di negeri ini.
Sejak tahun 2024 sehingga 27 Januari 2025, sebanyak 28 kes kemalangan elektrik telah direkodkan, dengan sembilan daripadanya mengakibatkan kematian.
Salah satu kes terbaru yang melibatkan kematian dua orang pekerja kontraktor di Kota Marudu telah dibawa ke mahkamah hari ini.
Tertuduh, yang merupakan kontraktor terlibat, didakwa di bawah Seksyen 55 Enakmen Bekalan Elektrik (EBE) 2024 di hadapan Hakim A. Akhirudin Acho di Mahkamah Sesyen Sabah dan Sarawak di Kota Marudu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah, dan mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 24 dan 25 Februari 2025. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM300,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, kemalangan elektrik sering berlaku akibat aktiviti berdekatan talian elektrik yang dijalankan tanpa kebenaran Sabah Electricity (SE).
“Statistik menunjukkan bahawa 12 kes kemalangan elektrik maut dan 15 kes tidak maut direkodkan pada tahun lepas. Punca utama adalah kegagalan mendapatkan kebenaran sebelum menjalankan kerja berhampiran talian elektrik,” jelas dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyatakan bahawa kegiatan mencuri elektrik di penempatan setinggan, cubaan mencuri peralatan elektrik dalam pencawang milik SE, serta penyelenggaraan pepasangan elektrik yang tidak sempurna turut menyumbang kepada insiden kemalangan.
Sebagai langkah pencegahan, ECoS telah mengeluarkan lapan kompaun pada tahun lepas, dengan jumlah denda antara RM10,000 hingga RM150,000 bergantung kepada kesalahan.
Selain itu, ECoS juga akan mempergiatkan program kesedaran keselamatan elektrik kepada orang awam di Sabah.
“Kami menegaskan bahawa mana-mana pihak yang ingin menjalankan kerja berhampiran pepasangan SE perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu. Ini adalah langkah penting untuk mengelakkan kemalangan yang tidak diingini,” kata Nasser.
Beliau juga mengingatkan bahawa semua Orang Kompeten yang berkhidmat di Sabah wajib memiliki Perakuan Kekompetenan daripada ECoS selaras dengan Peraturan 60, Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik (PPBE) 2024.
Dengan langkah-langkah ini, ECoS berharap dapat mengurangkan kadar kemalangan elektrik dan meningkatkan tahap keselamatan elektrik di kalangan penduduk Sabah.