Kota Kinabalu: Pemasyhuran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman sebagai Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu akan diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri depan.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata perlantikan tersebut secara tradisinya selepas Tun Musa dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.

“Selepas Hari Raya nanti, pemasyhuran Tun Musa sebagai Canselor UMS yang keempat akan dilaksanakan dan kita akan mengadakan satu program dan acara yang gilang-gemilang untuk meraikannya.
“Di Sabah secara tradisinya, Tuan Yang Terutama Tun adalah Canselor UMS yang turut memberikan reputasi yang baik bagi UMS dan juga mengangkat martabat Tun Musa sebagai ketua negeri, menjadi payung dan sebagai seorang yang boleh memberikan bimbingan terhadap perkembangan UMS.
“Di samping itu, saya percaya beliau mampu membantu UMS mencapai prestasi yang lebih baik di masa yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.
Abdul Rahman berkata, kunjungan hormat berkenaan bertujuan untuk memaklumkan kepada Tun Musa berkenaan proses pelantikan sebagai Canselor serta permahsyuran.
Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata pelbagai perancangan dilakukan oleh UMS pada tahun ini dan berhasrat untuk menubuhkan program baharu, fakulti Seni Bina yang akan ditawarkan pada September depan.
“UMS juga merancang untuk membuka program veterinary disebabkan kekurangan ahli-ahli di Sabah.
“Di samping itu, kita berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mendapatkan beberapa tanah untuk kita majukan dalam agenda keterjaminan makanan yang dikendalikan oleh Fakulti Pertanian Lestari dan Institut Penyelidikan Marin Borneo, pada tahun ini kita akan komersialkan produk-produk marin,” katanya.
Tambahnya, UMS telah dianugerahkan sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang marine borneo dan pada tahun ini kita akan mula komersialkan hasil-hasil pendidikan di Institut Penyelidikan Marin Borneo pada tahun lepas.