Membakut : Penganjuran majlis tilawah Al-Quran berupaya membuka ruang kepada bakat-bakat baru dalam kalangan qari dan qariah yang berkebolehan dalam pembacaan Al-Quran secara bertajwid, bertaranum, berfasohah dan bersuara merdu.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, bakat baru yang dicungkil diharap dapat membawa nama daerah ini ke peringkat negeri, kebangsaan, malah antarabangsa.

“Dalam suasana penuh keberkatan ini, saya ingin menyeru kita semua untuk terus memperkukuh ukhuwah Islamiah.
“Hindarilah perpecahan dan perselisihan yang hanya melemahkan umat. Sebaliknya, semaikan kasih sayang, keharmonian, dan permuafakatan demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Membakut 1446H/2025M di sini semalam.
Ruslan berkata, kejayaan penganjuran majlis itu juga membuktikan bahawa keamanan dan kemakmuran yang di nikmati kini adalah hasil daripada kepimpinan berwawasan yang mendukung agama Islam sebagai agama rasmi negara.

“Marilah kita bersama-sama memelihara nikmat ini dan terus berusaha menjadi masyarakat yang lebih baik, beriman, dan bertakwa,” katanya.
Terdahulu, Ruslan berkata, majlis itu bukan sekadar acara tahunan, tetapi juga sebuah usaha memperkukuh tradisi keilmuan Al-Quran.
Katanya, Al-Quran bukan sahaja sumber spiritual, tetapi juga panduan intelektual yang mencakupi pelbagai bidang ilmu, termasuk sains dan teknologi.
“Dalam konteks hari ini, adalah penting untuk melahirkan lebih ramai cendekiawan Islam atau ‘ulul albab’ yang mampu mengimbangi tuntutan duniawi dan ukhrawi.
“Sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Khaldun, ilmu dan penghayatannya adalah asas untuk melahirkan manusia yang berakhlak mulia dan berdaya saing,” katanya. – SABAH MEDIA