Kota Kinabalu : Dua daerah di Sabah hari ini diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir berikutan hujan lebat berterusan dan kenaikan paras air sungai di paras bahaya ketika ini.
Dua daerah yang diisytiharkan bencana banjir adalah di Lahad Datu dan Kota Marudu.
Dalam kenyataan berasingan, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lahad Datu Mohd Firuz Idzualdin @ Benetty Dzul berkata, pengisytiharan itu dibuat pada jam 3.30 petang tadi.
“Dengan ini berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPBD maka adalah diisytiharkan bahawa telah berlaku bencana banjir di kawasan Segama daerah Lahad Datu.
“Pengisytiharan bencana dibuat pada jam 3.30 petang hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Firuz berkata, berikutan itu, pengoperasian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Kolej Vokasional, Lahad Datu sepenuhnya diaktifkan.
“Selaras dengan pengisytiharan bencana ini mohon semua agensi yang terlibat bersiap sedia untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam pada itu, daerah Kota Marudu turut diisytiharkan mengalami bencana banjir pada jam 10 pagi tadi.
Perkara itu dinyatakan Pengerusi JPBD Kota Marudu Meirin Sugara. – SABAH MEDIA