Kota Kinabalu: Semua penduduk terutama yang tinggal di tebing sungai dan kawasan mudah dilanda banjir di negeri ini diingatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu bagi memastikan keselamatan diri sentiasa terjaga.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, penduduk di kawasan berisiko juga diingatkan untuk berpindah ke lokasi yang lebih selamat dan mengelak daripada tinggal berhampiran sungai serta kawasan berisiko tinggi.
Katanya, beberapa daerah di Sabah dijangka mengalami hujan lebat berterusan hari ini yang akan meningkatkan risiko banjir, tanah runtuh, dan kenaikan paras sungai.
Antara daerah dijangka berlaku banjir dan tanah runtuh termasuklah di Telupid, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Ranau, dan Kota Belud.
“Saya juga menyeru pemimpin masyarakat, ketua kampung, dan pihak berkuasa tempatan untuk terus berwaspada dan membantu dalam proses pemindahan penduduk dari kawasan yang terdedah kepada bahaya.
“Adalah penting untuk kita mengutamakan keselamatan berbanding harta benda dan bertindak pantas bagi mengelakkan sebarang kehilangan nyawa,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, kementeriannya sentiasa berwaspada dan proaktif dalam pendekatan bagi mengurangkan risiko banjir.
Katanya, ia menerusi pembersihan sistem saliran, serta kerja-kerja meluaskan dan mendalamkan sungai, serta kemajuan berterusan dalam pelbagai projek mitigasi banjir.
“Kami berusaha untuk memastikan bahawa sebarang banjir yang berlaku tidak akan seburuk kejadian sebelumnya. Walau bagaimanapun, langkah-langkah ini, walaupun penting, tidak menghapuskan sepenuhnya risiko banjir.
“Oleh itu, adalah penting bagi semua penduduk untuk sentiasa berwaspada dan bersedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya.
Sementara itu, Jeffrey berkata, Kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), agensi-agensi berkaitan, dan pihak berkuasa tempatan, sedang memantau keadaan dengan teliti dan akan memberikan bantuan seperti yang diperlukan
“Saya menggesa orang awam untuk terus mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi dan mengikuti kemas kini terkini dari MetMalaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Sekiranya berlaku kecemasan, sila hubungi pusat operasi bencana terdekat atau pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan bantuan.
“Marilah kita semua mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu dan bekerjasama untuk memastikan keselamatan keluarga dan komuniti kita. Kekal selamat, kekal berwaspada, dan utamakan kesejahteraan anda,” katanya. – SABAH MEDIA