HomeUtamaF&N santuni warga emas di Comfort Aged Care Centre sempena Tahun Baharu...

F&N santuni warga emas di Comfort Aged Care Centre sempena Tahun Baharu Cina

Read Time:2 Minute, 0 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: F&N Beverages Marketing Sdn Bhd terus memperkukuhkan komitmen sosialnya dengan menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersempena Tahun Baharu Cina 2025 di Comfort Aged Care Centre, Kampung Likas pada Rabu (5 Feb).

Ghraham (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada Kent sambil diperhati Pengarah Komunikasi, Hal Ehwal Korporat & Kelestarian, F&N, Karen Tan (kiri) dan Perhubungan Korporat & Hubungan Kerajaan Malaysia Timur & Brunei, F&N, Valerian Hansen Petrus (kanan).

Kunjungan ini bukan sekadar menyerahkan sumbangan berupa keperluan harian dan angpau kepada para penghuni, malah turut diiringi dengan detik penuh mesra apabila pasukan F&N meluangkan masa bersama warga emas di pusat tersebut, membawa keceriaan serta menyuntik semangat baharu kepada mereka.

Menurut Pengarah Urusan F&N Malaysia Timur dan Brunei, Graham Lim, inisiatif ini adalah cerminan falsafah syarikat yang berpegang kepada prinsip memberi kembali kepada komuniti.

“Kami mahu berkongsi dan menceriakan para penghuni sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban mereka dan memberikan kegembiraan,” katanya ketika ditemui pemberita sesama kunjungan ke pusat itu.

Rombongan F&N turut menyampaikan sumbangan angpau kepada penghuni serta kakitangan pusat itu sambil berinteraksi dengan mereka.

Diasaskan oleh Kent Chau Tak Bin, Comfort Aged Care Centre menawarkan perkhidmatan penjagaan holistik kepada warga emas, khususnya mereka yang memerlukan rawatan khas seperti pesakit Dementia, Parkinson, strok, kanser tahap akhir serta penjagaan pasca pembedahan.

Kent Chau menjelaskan, pihaknya mengutamakan kesejahteraan fizikal, mental dan sosial para penghuni.

“Kami percaya setiap saat adalah berharga. Matlamat kami adalah memastikan setiap penghuni dapat menikmati kehidupan berkualiti,” katanya.

Sebagai satu-satunya pusat jagaan sosial enterprise di Sabah, Comfort Aged Care Centre bertekad menjadi peneraju dalam perkhidmatan penjagaan warga emas yang inovatif.

Antara objektif utama pusat ini adalah mengurangkan tekanan ahli keluarga supaya mereka dapat meluangkan masa berkualiti tanpa mengabaikan kerjaya. Selain meningkatkan kualiti hidup penghuni dari sudut fizikal, mental dan sosial.

Pusat ini menawarkan dua perkhidmatan utama iaitu Program Jagaan Harian iaitu Isnin hingga Ahad, 7.30 pagi hingga 6.30 petang dan Program Jagaan Sepenuh Masa 24 Jam.

Ketika ini, pusat tersebut menempatkan 20 penghuni tetap, 22 klien jagaan harian, serta disokong oleh 25 kakitangan profesional.

Pusat ini terus komited dalam menjadi rakan penyokong terbaik kepada keluarga yang memerlukan.

“Dengan kehadiran kami, keluarga tidak perlu lagi berkorban kerjaya dan masa peribadi mereka demi menjaga insan tersayang. Kami mahu membantu mereka mencapai keseimbangan hidup yang lebih baik,” tambah Kent.

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji dan isteri santuni jemaah haji Tuaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular