Oleh NORMIMIE DIUN
PENAMPANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Back to School yang melibatkan 174 pasar raya, kedai pakaian dan pusat membeli-belah di seluruh negara.
Program ini bagi membantu meringankan beban ibu bapa dalam membeli keperluan sekolah untuk anak-anak mereka.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah agenda Payung Rahmah, yang mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta untuk tahun 2025, menjadikan jumlah keseluruhan RM300 juta untuk pelaksanaan pelbagai program kebajikan.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata program PJRM Back to School bertujuan untuk menawarkan barangan kelengkapan sekolah diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran semasa.
“Terdapat 45 sehingga 70 unit penyimpanan stok (SKU) bagi barangan keperluan sekolah ditawarkan termasuk pakaian seragam, kasut, dan alat tulis melibatkan sebanyak 174 pasaraya, kedai pakaian dan juga pusat membeli-belah menyertai dalam program ini.
“Setakat 8 Februari semalam, daripada sasaran 243 tersebut, kita telah melaksanakan sebanyak 101 PJRM Back to School di seluruh negara yang telah bermula pada 16 Januari dan dijangka berakhir pada 18 Februari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Progran Jualan Rahmah Madani Back To School 2025 sempena musim cuti persekolahan di salah sebuah pasaraya di ITCC di sini hari ini.
Turut hadir dalam program itu Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin.
Armizan berkata bahawa sambutan terhadap program ini sangat menggalakkan dan pihaknya bercadang untuk meningkatkan kekerapan program pada tahun depan jika sambutan terus positif.
“Sekiranya kita melihat sambutan program ini menggalakkan, saya fikir kita perlu tambah lagi kekerapan siri program ini pada tahun hadapan. Namun, setakat ini saya dimaklumkan, feedback adalah amat memberangsangkan dan sambutan cukup luar biasa,” katanya.
Selain program Back to School, Armuzan berkata, KPDN juga menjalankan program PJRM semasa musim perayaan, yang turut menawarkan barangan sesuai dengan tema perayaan seperti Krismas, Tahun Baru Cina, dan Hari Raya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa KPDN menjalankan pemeriksaan secara berterusan melalui Ops Kesan untuk memastikan tiada elemen pencatutan berlaku dalam penjualan barangan keperluan sekolah.
Beliau juga menggalakkan orang ramai untuk melaporkan sebarang aduan berkaitan harga atau penipuan dengan menggunakan saluran aduan rasmi yang telah disediakan, bagi memastikan tindakan segera dapat diambil.