Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau mengusir tiga buah bot bersama sembilan pemancing warga Indonesia selepas dikesan menceroboh perairan negara dalam satu operasi khas di sini Ahad lalu.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan dan menahan ketiga-tiga bot tersebut di kedudukan antara 2.5 hingga 5.6 batu nautika utara Burst Point, sekitar jam 1 petang hari berkenaan.
Katanya, selepas mendapati kesemua suspek telah memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran serta tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.

“Hasil pemeriksaan mendapati sembilan individu yang kesemuanya lelaki berusia antara 28 hingga 52 tahun tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,
“Selain itu, kami turut menahan tiga buah bot nelayan bersama tiga unit enjin sangkut 15hp serta hasil tangkapan laut yang dianggarkan bernilai RM20,000,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Shahrizan berkata, susulan penahanan tersebut, semua individu terbabit diserahkan kepada Konsulat Republik Indonesia bagi proses pengusiran berdasarkan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Republik Indonesia dan Kerajaan Malaysia.
Katanya ia adalah berkaitan garis panduan perlakuan terhadap nelayan oleh agensi penguatkuasaan maritim kedua-dua negara yang ditandatangani pada 27 Januari 2012.
“Selepas proses dokumentasi selesai, ketiga-tiga bot berkenaan telah diiring ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia untuk dihantar pulang ke negara asal.
“Maritim Malaysia menegaskan bahawa pihaknya akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi membanteras sebarang pencerobohan dan aktiviti haram di Zon Maritim Malaysia, khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah maritim atau kecemasan di sekitar perairan Tawau boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA