Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengingatkan pemilik bangunan usang, terutama di kawasan Segama, supaya menjalani Structural Integrity Test (Uji Keteguhan Struktur) bagi memastikan keselamatan premis mereka.
Ketua Pengarah DBKK, Sr. Lifred Wong, berkata langkah ini penting untuk mengelakkan insiden yang boleh membahayakan penghuni dan orang awam, selain memastikan bangunan memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.
“Tahun lalu, DBKK sudah mengeluarkan banyak notis, terutama kepada pemilik yang tidak menyelenggara bangunan khususnya bangunan-bangunan usang,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ahli Parlimen Kota Kinabalu malam tadi.
Ini susulan pada Jumaat lalu, media melaporkan seorang wanita berusia 55 tahun cedera parah akibat dihempap runtuhan lantai tingkat satu sebuah restoran di Jalan Segama, di sini.
Menurut Lifred, meskipun bangunan yang runtuh itu tidak menunjukkan tanda awal berisiko, langkah berjaga-jaga tetap perlu diambil.
“Pemilik bangunan di Segama perlu melantik jurutera profesional untuk menjalankan Structural Integrity Test. Ini bertujuan untuk menilai kekukuhan bangunan dan menentukan sama ada ia masih selamat atau tidak untuk digunakan.
“DBKK ada hak untuk mengarahkan ujian ini dilakukan, terutama bagi bangunan lama yang berpotensi membahayakan. Dari segi tindakan undang-undang, memang ada peruntukan, tapi buat masa ini, kita lebih kepada memberi nasihat dan memujuk pemilik untuk bertindak,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin, berkata pihaknya telah berbincang dengan DBKK mengenai keperluan ujian struktur ini.
“Sebenarnya, DBKK sudah meminta pemilik bangunan di Segama melakukan ujian sejak tahun lalu. Ada yang patuh, ada juga yang belum.
“Jadi, saya harap DBKK dapat mengingatkan sekali lagi kerana isu ini melibatkan keselamatan awam,” katanya.
Chan yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi menambah, kebanyakan bangunan di Segama sudah berusia sejak 1970-an, berkemungkinan mengalami kelemahan dalam bahan binaan akibat faktor usia.
Sehubungan itu, DBKK akan terus memantau keadaan bangunan di Kota Kinabalu bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.