Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan tradisi tahunan pada bulan Ramadan dengan mengagihkan sebanyak 4,000 pek bubur lambuk sebagai juadah berbuka puasa kepada kakitangan, pelajar, dan orang awam menerusi penganjuran program ‘Bah! Sungkai Kita Bubur Lambuk 2025’.
Menurut kenyataan dari Pusat Minda Lestari (PML), program yang mendapat sokongan tajaan dari Adabi Sdn. Bhd. itu dijayakan oleh kakitangan dari PML, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST), Fakulti Pengajian Islam (FIS), Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), serta Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS).

“Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk mengeratkan hubungan dan memupuk semangat kerjasama antara warga PML dan kakitangan UMS yang terlibat, sekali gus dapat bersama-sama meraih keberkatan dan fadhilat yang ada dalam bulan Ramadan.
“Selain itu, ini juga adalah bertujuan untuk memperkukuh amalan jariah dengan berkongsi rezeki bersama seluruh komuniti kampus khususnya pelajar-pelajar UMS,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Penyediaan bubur lambuk tersebut diadakan secara bergotong-royong di kawasan perkarangan PML, yang kemudiannya diagihkan ke pejabat dan kolej kediaman di kampus UMS.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor turut memberikan sokongan terhadap penganjuran program tersebut dengan membantu pengagihan bubur lambuk di pintu utama UMS.
Turut serta dalam agihan tersebut Pengurus Adabi Sabah, Muhammad Zahari Muhammad Nasir; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan FPKS, Prof. Dr. Mohd. Dahlan A. Malek; Dekan FIS, Prof. Dr. Muhamad Suhaimi Taat; Dekan PPIB, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng; Pengarah PML, Dr. Suwaibah Zakaria; dan Pengarah PPST, ChM. Dr. Newati Wie – SABAH MEDIA / FOTO UMS