Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Selepas bertahun berjuang, seorang anggota keselamatan Pasukan Petugas Khas (STF) Persekutuan akhirnya berjaya membersihkan namanya apabila Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggugurkan sabitan kes rogol terhadapnya.
Abd Kahar Liman tidak dapat menahan sebak sebaik mendengar keputusan sebulat suara yang disampaikan oleh panel tiga hakim, terdiri daripada Dato’ Lee Swee Seng, Dato’ Lim Chong Fong, dan Dato’ Dr Alwi Abdul Wahab.
Mahkamah membenarkan rayuan Abd Kahar terhadap sabitan dan hukuman, sekali gus membebaskan dan melepaskannya daripada sabitan dan hukuman terhadap pertuduhan rogol melibatkan seorang remaja Filipina.
Terdahulu, Abd Kahar didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 19 Februari 2021 atas pertuduhan merogol seorang gadis berusia 16 tahun di Pusat Tahanan Sementara Kimanis, Papar, sekitar tengah malam pada Mei 2018.
Abd Kahar dijatuhi hukuman penjara 18 tahun serta satu sebatan.
Mahkamah turut memerintahkan Abd Kahar membayar RM10,000 sebagai pampasan kepada mangsa, atau berdepan hukuman tambahan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar pampasan tersebut. Selain itu, dia juga diperintahkan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Abd Kahar bagaimanapun diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya selesai.
Abd Kahar mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi, namun hakim mengekalkan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan. Tidak berputus asa, Abd Kahar meneruskan rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi.
Peguam Luke Ressa Balang mewakili perayu, manakala Timbalan Pendakwa Raya Sarulatha A/P Paramavathar bertindak sebagai responden dalam kes ini.
Difahamkan, Abd Kahar telah digantung kerja sejak dia didakwa berhubung kes ini.
Kes ini pertama kali dibawa ke mahkamah pada 20 Mac 2019 di Mahkamah Sesyen Papar dan pada ketika itu, tertuduh yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan telah dibenarkan ikat jamin RM10,000 dengan RM5,000 didepositkan, bersama dua penjamin tempatan.