Membakut : Cadangan untuk mewujudkan satu Pusat Pemindahan Kekal (PPK) di daerah ini akan dibawa ke mesyuarat kabinet akan datang.
Perkara itu dinyatakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor melawat mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Kesenian Islam di sini, semalam.
“Saya akan bawa ke mesyuarat kabinet untuk memohon PPK bagi daerah Membakut ini dan moga-moga apa yang diperolehi Beaufort di Selagon akan dapat kita perolehi di Membakut untuk membolehkan keselesaan mereka yang terlibat dalam bencana seumpama ini.
“Lokasinya sudah kita kenal pasti sebenarnya sebelum ini pun ada dicadangkan dan lokasi adalah di Pekan Membakut ini sendiri untuk memudahkan urusan,” katanya.
Dalam pada itu, Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama berkata, Kerajaan negeri melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) akan membantu sekolah-sekolah yang terjejas bencana banjir di negeri ini.

Katanya, bantuan berjumlah RM5,000 hingga RM10,000 itu adalah untuk kegunaan gotong-royong membersih serta mengganti peralatan yang rosak.
“Saya juga ingin memaklumkan bahawa semua sekolah yang terjejas sama ada di Membakut, Beaufort, Tenom, Keningau dan mana-mana daerah yang terlibat, kita akan membantu sekolah berkenaan.
“Kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan melalui TPNS, insyaAllah kita akan berikan kepada mereka untuk keperluan bergotong-royong membersih, mengemas semula atau mengganti apa-apa yang perlu untuk keselesaan anak-anak di sekolah,” katanya.
Beliau merakamkan terima kasih kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) serta pengetua yang telah memberikan kebenaran untuk menjadikan tempat mereka sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Mudah-mudahan usaha ini akan dapat berterusan dan kita dapat memberikan keselesaan kepada masyarakat kepada penduduk yang terlibat saya harap kita semua bersabar ada yang terjejas rumah mereka digenangi air kemudian perabot dan sebagainya harap bersabar atas ujian Allah SWT,” katanya.
Turut mengiringi, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr. Safar Untong, Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Ghulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar, Pegawai Daerah Membakut Ibrahim Terki dan Ketua Polis Daerah Beaufort Suprintenden Wong Leong Meng.
Sementara itu, mangsa banjir, Jomy Anggelo, 67, yang ditemui media menyatakan rasa syukur atas bantuan yang diberikan dan sangat menghargai kesudian Ketua Menteri Sabah melawat mangsa-mangsa banjir.
“Saya sangat-sangat bangga bila Ketua Menteri sendiri datang dan tanya khabar rakyat yang kena banjir di sini, terima kasih atas bantuan yang diberikan,” katanya.
Bekas pesara pendidikan yang tinggal bersendirian itu mula berada di PPS Dewan Kesenian Islam sejak tiga hari lalu yang dipindahkan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) selepas rumahnya digenangi air setinggi paras pinggang.
Turut ditemui, ibu kepada dua anak, Nazira Jamaludin, 28, serta ibu mertuanya, Kunis @ Connie Lawrence , 56, dari Kampung Lampijas turut berterima kasih kepada semua petugas yang menguruskan mangsa banjir.
“Kami pindah sebab risau paras banjir waktu itu sampai dada saya, risau la kalau memudaratkan dua bayi ini jadi kami pun berpindah ikut dengan petugas Bomba. Sudah tiga malam kami di sini.
“Terharu la bila Ketua Menteri datang melawat, terima kasihlah atas bantuan dari mana pun pihak kami sangat bersyukur,” katanya.