Kota Kinabalu : Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah (SM) Maktab Sabah akan terus menyantuni pelajar sekolah berkenaan khususnya mereka yang kurang berkemampuan.
Yang Dipertua PIBG SM Maktab Sabah Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, inisiatif itu juga merupakan antara peranan dan sokongan PIBG sekolah dalam memastikan mereka turut sama meraikan sambutan suatu perayaan yang disambut.
“Program pada hari ini, kita sudah sedia maklum, pada bulan-bulan yang penuh mulia, penuh berkat,PIBG akan sentiasa menyantuni pelajar-pelajar.
“Ini adalah antara peranan PIBG yang mana tidak meninggalkan murid supaya kita memberi sokongan dan memberi barang-barang keperluan khususnya kepada pelajar-pelajar yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Pembelian Baju Raya Pelajar Asnaf di sini hari ini.
Pada program itu, seramai 30 pelajar sekolah berkenaan terpilih bagi menyertai program berkenaan.
Arif berkata, program itu adalah bagi membantu pelajar terlibat membeli barang-barang keperluan sambutan Hari Raya Aidilfitri berbentuk kelengkapan baju melayu dan baju kurung serta songkok.
Ketika ditanya mengenai perancangan aktiviti PIBG, Arif berkata, pihaknya juga akan melaksanakan program berbentuk kemenjadian pelajar seperti sahsiah pelajar, program-program motivasi dan program-program persiapan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Ini antara program-program kita yang sentiasa laksanakan setiap tahun. Jadi dalam bulan Ramadan, kita akan mengadakan satu program lagi bubur lambuk yang akan diagihkan kepada masyarakat dan akan dibuat gotong royong antara NGO-NGO dengan ibu bapa dan PIBG pada Sabtu ini,” katanya. – SABAH MEDIA