Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Selepas hampir setahun dalam tahanan, seorang penjawat awam hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada dua pertuduhan memiliki dan menanam ganja.
Mohd Haffezy Mohd Sidik, 36, berkata perkara pertama yang ingin dilakukannya selepas bebas adalah menziarahi kubur anaknya.
“Anak saya meninggal dunia ketika saya dalam tahanan. Saya tidak dapat berada di sisinya.
“Saya bersyukur akhirnya keadilan berpihak kepada saya. Saya tidak sabar untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga setelah begitu lama ditahan. Sekarang, perkara pertama yang saya mahu lakukan ialah menziarahi kuburnya dan menghadiahkan doa buatnya,”kata Mohd Haffezy dengan suara sebak.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim memerintahkan Mohd Haffezy dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd Haffezy didakwa memiliki 99.59 gram ganja di sebuah rumah di Apartment Angkasa, Manggatal, pada 13 April 2023.
Dia didakwa di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama, dengan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun serta sebatan tidak kurang daripada 10 kali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menanam tiga pokok ganja di lokasi dan masa yang sama.
Kesalahan itu tertakluk di bawah Seksyen 6B(1) dan dihukum dibawah Seksyen 6B(3) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada enam sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pihak pendakwaan memanggil lapan saksi semasa perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Eugenie Meredith Gilbert dan Atiqa Nazihah Azmi, manakala tertuduh diwakili peguam Azhier Farhan Arisin.