Sandakan : Enam warga Filipina yang terselamat dalam insiden vesel karam tiga hari lalu telah diserahkan kembali kepada pihak berkuasa Filipina oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan sempadan Malaysia-Filipina, semalam.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, pihaknya menerima laporan daripada Sandakan Port Control serta Taganak Port Control mengenai sebuah vesel karam di luar had pelabuhan Sandakan pada jam 7.30 malam, Ahad lalu.

“Sejurus menerima maklumat, operasi menyelamat segera dilancarkan dengan penghantaran Bot Halilintar 4 ke lokasi kejadian.
“Pada jam 9 malam, Bot Halilintar 4 tiba dan berjaya menyelamatkan enam mangsa, terdiri daripada lima dewasa dan seorang kanak-kanak berusia antara 11 hingga 45 tahun, kesemuanya warga Filipina,” katanya.
Suhairy berkata, mangsa-mangsa tersebut dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan pada jam 11.30 malam untuk rawatan dan tindakan selanjutnya.
Katanya, selepas perbincangan dua hala, Maritim Malaysia bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina, termasuk Pengawal Pantai Filipina dan Pegawai Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Perbandaran (MDRRMO), untuk menyerahkan mangsa di perairan sempadan dengan diiringi aset kedua-dua negara.
“Penyerahan mangsa berjaya dilaksanakan pada jam 10.30 pagi semalam di sempadan Malaysia-Filipina dengan disaksikan oleh Naib Datuk Bandar Suraida B. Ibnusali. Kesemua mangsa berada dalam keadaan baik dan telah diambil alih oleh pihak berkuasa Filipina,” katanya.
Menurutnya lagi, Maritim Malaysia tetap komited untuk memastikan keselamatan maritim dan menggesa komuniti pesisir pantai serta para pelaut untuk berhati-hati semasa cuaca buruk dan sentiasa waspada amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA