HomeUtamaMenara MPS bakal dioptimum sebagai pemangkin ekonomi pusat bandar Sandakan

Menara MPS bakal dioptimum sebagai pemangkin ekonomi pusat bandar Sandakan

Read Time:1 Minute, 32 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited untuk memperkasa Menara Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) sebagai aset strategik dan produktif bagi merancakkan semula ekonomi di pusat bandar Sandakan.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Haji Aliasnin, berkata beberapa inisiatif telah dikenal pasti bagi merealisasikan matlamat tersebut.

“Pertama, pengoptimuman penggunaan bangunan. Pihak MPS sedang mengkaji model pengurusan aset yang lebih sesuai dan berkesan, iaitu model sewa pajakan (lease model) atau Kerjasama Awam-Swasta (PPP) untuk memaksimumkan penggunaan ruang bangunan serta menjadikannya pusat ekonomi jangka panjang melalui pelaburan swasta,” katanya.

Langkah kedua melibatkan usaha menarik pelaburan dan penyewaan ruang. MPS menawarkan pakej sewaan kompetitif kepada syarikat korporat dan pelabur bagi menjadikan menara ini sebagai pusat komersial utama, di samping menjalin kerjasama dengan sektor swasta dalam pembangunan kemudahan serta perkhidmatan.

“Ketiga, menaik taraf infrastruktur dan kemudahan sedia ada. MPS sedang dan akan melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem perparitan, pemasangan CCTV, pencahayaan dan langkah keselamatan di sekitar kawasan Pusat Bandar Sandakan, termasuk Menara MPS.

“Keempat, menjana sumber pendapatan tambahan. Selain hasil daripada sewaan ruang, MPS juga boleh menjana pendapatan melalui hak pengiklanan di papan iklan bangunan menara tersebut,” katanya.

Tambah beliau, kementerian berharap usaha yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Presiden MPS yang baharu serta kerjasama pegawai pengurusan akan memperkasakan bangunan tersebut sebagai aset produktif dengan meningkatkan kadar penggunaan, merancakkan aktiviti ekonomi dan menjamin pulangan optimum kepada MPS.

“Langkah-langkah ini akan menjadi salah satu pemangkin kepada usaha menghidupkan kembali pusat bandar Sandakan sebagai Central Business District (CBD) yang berfungsi sebagai hub ekonomi yang lebih dinamik dan berdaya saing,” katanya.

Isnin berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Poon Ming Fung @ Frankie (DAP–Tanjong Papat) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Poon ingin mengetahui apakah langkah Kerajaan Negeri dalam memperkasa Menara MPS bagi menjadikannya aset produktif kepada pihak berkuasa tempatan dan menarik lebih banyak aktiviti ekonomi.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki maut selepas kereta terbabas langgar tiang letrik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular