Kota Kinabalu : Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) diingatkan untuk bersabar dan tidak memburukkan nama universiti berikutan isu kekurangan bekalan air yang berlaku di kampus induk UMS sejak beberapa minggu lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya melalui Pejabat Parlimen Sepanggar dan pengurusan universiti sedang berusaha untuk membantu mengatasi masalah itu secepat mungkin.
Katanya, Pejabat Parlimen Sepanggar juga akan menghantar bekalan air tangki dan air minuman jika ada keperluan mendesak untuk keselesaan pelajar.
“Saya mohon supaya janganlah ada pelajar yang cuba memburukkan institusi sendiri, kita kena promosikan UMS ini sebaik mungkin.
“Jangan kita pula menjadi penghalang untuk pendidikan generasi yang menyebabkan pelajar lain tidak berminat pula untuk datang ke UMS ini.
“Jadi saya harap supaya pelajar jangan gunakan platform media sosial untuk memburukkan institusi yang kita sayangi. Ini adalah idea besar untuk kita mendidik generasi di Sabah ini, kita kena jaga UMS,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau isu bekalan air di universiti itu, di sini, semalam.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, pihaknya turut memberi jaminan sebarang masalah yang dihadapi di UMS boleh diurus dan dibantu untuk diselesaikan.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, lapan telaga tiub yang dibina di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi peruntukan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang siap pada tahun lalu sudah dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menangani isu kekurangan bekalan air di universiti itu.
Katanya, semua telaga tiub terbabit berfungsi dengan baik untuk membekal air ke kediaman pelajar, namun kapasiti yang dikeluarkan tidak mampu menampung keperluan.
Menurutnya, kemudahan itu memerlukan tempoh pemulihan yang agak lama, iaitu antara empat hingga enam jam setelah air yang dipam habis digunakan, sebelum ia dapat dipam semula untuk diproses dan di salurkan ke kediaman pelajar.
“Telaga tiub berfungsi dengan baik, cuma ia ada ‘recovery rate’ dan sekarang ini ada beberapa tempat memang bergantung dengan bekalan air dari telaga tiub itu.
“Jadi kadang-kadang sumber airnya pun habis dan perlu pemulihan dalam masa hingga enam jam supaya dapat diisi balik dan ia adalah untuk digunakan pelajar,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan masalah air kembali menghantui pelajar UMS hingga terpaksa menadah air hujan untuk mandi dan mencuci berikutan bekalan air yang disalurkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) tidak sampai secukupnya untuk menampung keperluan ribuan warga kampus UMS.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata tinjauannnya bersama Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, semalam mendapati tangki utama yang menempatkan air disalurkan JANS pada paras yang rendah.
“Daripada lawatan kami di tangki utama memang bekalan air agak kurang. Jadi saya mohon kepada pihak JANS supaya memberi keutamaan kepada UMS dalam pengagihan bekalan air.
“Sebab sekarang ini pelajar sudah kembali selepas curi Hari Raya. Jadi proses pengajaran, pendidikan akan berterusan dan kita minta supaya bekalan air ke UMS diutamakab untuk keselesaan pelajar,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO UMS