HomeUtamaAmbil perhatian segera terhadap isu kelewatan projek pembangunan di Nabawan - Abdul...

Ambil perhatian segera terhadap isu kelewatan projek pembangunan di Nabawan – Abdul Ghani

Read Time:2 Minute, 0 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin meminta pihak berkaitan untuk mengambil perhatian segera terhadap isu kelewatan beberapa projek pembangunan di kawasan berkenaan.

Katanya, ia termasuklah pembinaan untuk menaik taraf dua buah jambatan ke pekan Nabawan yang sudah lebih setahun tidak dilaksanakan oleh kontraktor dilantik.

“Dalam kesempatan sidang dewan kali ini, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk bertanya kepada Kementerian-Kementerian yang berkenaan mengenai status dan isu-isu kelewatan projek di kawasan saya.

“Antaranya, apakah status terkini pembinaan untuk menaiktaraf dua buah jambatan ke pekan Nabawan kerana sudah lebih setahun berlalu belum ada kerja- kerja pembinaan yang dilakukan oleh kontraktor bertanggungjawab?.

“Status yang saya perolehi adalah masih menunggu pihak utiliti iaitu Sabah Electricity (SE) dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengalihkan tiang elektrik dan paip jabatan air, mengapakah perkara sebegini memakan masa yang lama untuk dibuat tindakan?,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) berkata, pihaknya juga mahu mengetahui status terkini penaiktarafan jalan gravel ke jalan konkrit di Kampung Pemunterian ke Kampung Mesopoh Nabawan.

Beliau mencadangkan agar pembinaan untuk menaiktaraf jalan itu dilaksanakan secara berfasa sekiranya mempunyai kekangan untuk dilaksanakan sekaligus.

“Selain itu, saya juga ingin membangkitkan mengenai status terkini hak pemilikan masyarakat Nabawan dengan lot-lot tanah SKIM Nabawan dan setakat ini berapakah keluasan lot-lot tanah SKIM Nabawan yang telah dikeluarkan geran,” katanya.

Dalam pada itu, Ghani turut mencadangkan kepada pihak berwajib dan  agensi-agensi kerajaan berkaitan dapat menyenaraikan projek pembersihan dan mendalamkan serta melebarkan sungai Nabawan yang semakin cetek disebabkan laluan air sungai tersumbat dan runtuhan-runtuhan yang berlaku. 

“Begitu juga di sepanjang sungai Loggongon dari Pagalungan hingga ke Kg. Bantul, Pagalungan berdekatan dengan sempadan Malaysia dan Indonesia yang perlu dilakukan kerja-kerja pembinaan tebing-tebing sungai terutama yang berhampiran dengan kawasan perkampungan.

“Laporan merekodkan lebih kurang 30 buah kampung terlibat dan 687 orang terjejas dalam bencana banjir di Nabawan yang mengakibatkan ramai keluarga terpaksa dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Pengalaman kali ini mengajar kita untuk lebih bersedia, maka dengan itu, perkara penting yang perlu diambil perhatian oleh Kerajaan Negeri adalah kita perlu bekerjasama dengan Kerajaan Federal untuk menyediakan kelengkapan atau aset-aset yang mencukupi untuk daerah – daerah di Negeri ini yang dilanda banjir khususnya untuk kawasan pedalaman,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Alexander puji komitmen Sabah percepat projek Pan Borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular