Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Adalah perkara biasa bagi rakyat untuk meminta bantuan kewangan daripada wakil rakyat, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir.
“Saya sendiri pun kena minta duit juga. Walaupun di kawasan Paginatan, kita bagi SMJ (perumahan), kita bagi ini SYUKUR (Program Sentuhan Kasih Rakyat), tetapi rakyat masih lagi berjumpa dengan saya kerana itu adalah tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat.
“So don’t complain. If you want to complain, might as well letak jawatan,” katanya ketika sesi soal jawab dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah.
Abidin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan terlibat dalam pertikaman lidah dengan Calvin Chong (Warisan–Elopura) apabila Chong mempersoalkan langkah kerajaan negeri dalam menangani isu kemiskinan di Sandakan.
Chong berkata ramai pengundi di kawasannya meminta bantuan kewangan daripadanya dan mengakui sukar menampung permintaan dengan sumber terhad yang dimilikinya.
Justeru beliau mempersoalkan ketelusan bantuan yang diberikan oleh kerajaan termasuk bantuan e-kasih.
“Adakah betul-betul untuk golongan miskin atau hanya untuk penyokong parti GRS? Kuota (bantuan) itu untuk siapa?,” soal Chong.
Terdahulu, Abidin menjawab soalan berhubung program SYUKUR dan isu pembasmian kemiskinan.
Soalan-soalan tersebut dikemukakan oleh beberapa ADUN termasuk Calvin Chong, Jannie Lasimbang (DAP–Kapayan), Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Gagasan – Nabawan), Assaffal Alian (Warisan – Tungku), Datuk Jonnybone Kurum (PBS – Telupid), dan Alias Sani (Warisan-Sekong).
Program SYUKUR menyediakan bantuan kewangan bulanan sebanyak RM300 selama setahun kepada 100,000 penerima dalam kategori miskin dan miskin tegar diseluruh negeri Sabah, dengan jumlah peruntukan RM358.4 juta.
Pembayaran program SYUKUR ini dilaksanakan secara empat fasa pembayaran iaitu bulan Januari hingga Mac (Fasa Pertama), April hingga Jun (Fasa Kedua), Julai hingga September (Fasa Ketiga) dan Oktober hingga Disember (Fasa Keempat) dengan pembayaran secara lump-sum bagi tiga (3) bulan berjumlah RM900.
Bagi fasa pertama, pembayaran telah dikreditkan ke akaun penerima bermula 17 Februari 2025 yang lalu.
“Bagi mereka yang tercicir atau tidak tersenarai dalam sistem eKasih, Kerajaan Negeri telah membangunkan Sistem Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) supaya siapa-siapa yang tercicir dan layak mendapat bantuan ini boleh melaksanakan permohonan secara dalam talian melalui sistem ini.
“Selain itu, Sekretariat SMJ juga bekerjasama dengan pemimpin akar umbi seperti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat Daerah dalam mengenal pasti Ketua Isi Rumah (KIR) di daerah masing-masing yang tercicir dan layak menerima bantuan ini,” katanya.
Menurut Abidin setakat 31 Mac 2025, Sekretariat SMJ telah menerima sebanyak 270,272 permohonan hasil daripada pendaftaran melalui sistem PADANS, senarai tercicir UPPM dan Pejabat Daerah serta sesi libat urus bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan Kerajaan bagi proses verifikasi selanjutnya.
“Justeru, bagi mereka yang tercicir atau tidak tersenarai dalam sistem eKasih, Kerajaan Negeri telah membangunkan Sistem Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) bagi membolehkan individu layak yang sebelum ini tidak tersenarai membuat permohonan secara dalam talian.
“Selain itu, Sekretariat SMJ turut bekerjasama rapat dengan pemimpin akar umbi seperti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat Daerah untuk mengenal pasti Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak tetapi tercicir di kawasan masing-masing,” katanya.