HomeUtamaPindaan akta dan penambahan insentif kukuhkan peranan PBB

Pindaan akta dan penambahan insentif kukuhkan peranan PBB

Read Time:2 Minute, 17 Second

Oleh FLORIETA DIET

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terus komited memperkasa peranan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) menerusi pelbagai inisiatif kebajikan, latihan serta penambahbaikan dasar, termasuk pindaan terhadap Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) yang telah diluluskan pada tahun ini.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Nordin Pauzi berkata, pindaan tersebut menyaksikan peluasan manfaat Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KWKB) kepada semua PBB.

“Jika sebelum ini hanya pegawai bomba sepenuh masa layak menerima kemudahan bagi kecederaan atau kemalangan semasa bertugas, pindaan 2025 ini kini melibatkan PBB, sekaligus memperkukuh perlindungan kebajikan anggota bantuan selaras dengan peranan penting mereka dalam pasukan.

“Selain itu, insentif bulanan seperti Elaun Kehadiran Latihan Tempatan (EKLT) sebanyak RM8 sejam, dengan purata bulanan RM1,920.00, turut ditambah baik dengan dua lagi elaun tahunan iaitu Elaun Bounty berjumlah RM520 dan Elaun Penyelenggaraan Pakaian sebanyak RM125, kepada PBB yang memenuhi kriteria ditetapkan. Secara keseluruhan, JBPM telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta setahun untuk PBB, iaitu separuh daripada keseluruhan peruntukan Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penutupan Kursus Asas Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Siri 1/2025 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM Sabah pada Jumaat.

Tambahnya lagi, sebagai tambahan kepada perlindungan kebajikan, semua PBB kini dilindungi melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) atau Program SPS Madani di bawah PERKESO secara percuma.

”Perlindungan ini meliputi pelbagai manfaat termasuk faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara dan kekal, faedah orang tanggungan, elaun layanan sentiasa, pinjaman pendidikan, dan kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional.

“Walau bagaimanapun, jabatan turut menekankan aspek disiplin dalam kalangan PBB. Statistik 2024 menunjukkan enam anggota te diberhentikan atas kesalahan tatatertib, termasuk dua kes jenayah, dua kes dadah dan dua kes ketidakhadiran bertugas. Ini membuktikan ketegasan jabatan dalam memastikan disiplin tanpa kompromi, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

“Dengan segala inisiatif yang diperkenalkan, JBPM berharap dapat terus melahirkan PBB yang berintegriti, cekap dan sentiasa bersedia berbakti kepada masyarakat dalam apa jua keadaan,” katanya.

Nordin turut menegaskan bahawa PBB adalah tulang belakang tambahan kepada bomba tetap dalam memastikan kesiapsiagaan dan kecekapan operasi berada di tahap tertinggi. Selain menyokong operasi kecemasan, mereka juga berperanan dalam meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran di peringkat komuniti.

Dalam penutupan kursus itu semalam, seramai 101 pelatih PBB berjaya menamatkan kursus asas kebombaan yang diwajibkan kepada anggota baru, dengan 93 pelatih dari Sabah dan lapan dari Wilayah Persekutuan Labuan.

Mereka akan ditempatkan di 25 Balai Bomba seluruh negeri, termasuk dua balai baharu di Pitas dan Merotai. Di Labuan, lapan anggota akan ditugaskan di Balai Bomba Layangan dan Rancha-Rancha.

Kursus ini memberi pendedahan komprehensif dalam aspek penyelamatan serta kebombaan dan merupakan sebahagian daripada usaha jabatan meningkatkan kompetensi PBB dari segi kemahiran, pengetahuan dan sikap melalui Sistem Tugasan Balai (STB) yang mula dilaksanakan sejak Oktober 2024.

RELATED ARTICLES
Utama

Warga China didenda kerana langgar syarat pas lawatan sosial

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular