HomeUtamaPelaburan Kibing buka peluang pekerjaan & ruang perniagaan lebih 600 pembekal tempatan

Pelaburan Kibing buka peluang pekerjaan & ruang perniagaan lebih 600 pembekal tempatan

Read Time:2 Minute, 0 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Pelaburan asing di Sabah bukan sahaja membuka peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan, malah turut mewujudkan ruang perniagaan kepada pembekal tempatan di negeri ini, kata Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Datuk Phoong Jin Zhe.

Katanya, pelaburan SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd bukan sahaja menjanjikan peningkatan jumlah peluang pekerjaan, tetapi turut mengaktifkan penglibatan lebih 600 pembekal tempatan yang kini berperanan sebagai pembekal dan kontraktor atau subkontraktor di kilang itu.

“Ini merupakan bukti nyata bagaimana pelaburan asing mampu memberi impak langsung kepada rakyat negeri, bukan sahaja melalui pekerjaan, malah melalui rantaian ekonomi yang lebih luas,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau turut mengulas, Majlis Sambutan Aidilfitri bersama warga Kibing di kilangnya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini hari ini (25 April) adalah detik bersejarah yang melambangkan kejayaan besar dalam masa hanya dua tahun kilang berkenaan beroperasi.

“Sehingga kini, lebih 1,600 anak Sabah telah diambil bekerja di kilang tersebut. Dengan pembinaan barisan pengeluaran ketiga yang kini telah mencapai 70 peratus kemajuan, angka itu dijangka meningkat kepada 2,300 orang menjelang hujung tahun.

“Setakat ini, 85 peratus pekerja di sini adalah rakyat Sabah, dan pihak syarikat telah menyatakan komitmen mereka baru-baru ini untuk meningkatkan angka itu kepada 100 peratus pada masa akan datang,” tambah beliau.

Phoong turut berkata, sekiranya barisan pengeluaran ketiga berjaya direalisasikan, nilai pelaburan keseluruhan akan melebihi RM3 bilion.

“Ini bukan sekadar angka, tetapi satu peluang dan masa depan yang cerah untuk rakyat Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kibing telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kerajaan Negeri untuk memulakan fasa pengembangan kedua di Kimanis, yang kini sedang diselaraskan dari pelbagai aspek.

Tambah beliau, selain mencipta peluang pekerjaan, pelaburan ini turut menggalakkan penglibatan lebih banyak syarikat tempatan dalam pelbagai sektor pembekalan dan perkhidmatan.

“Inilah bukti bahawa pelaburan seperti ini bukan hanya menguntungkan satu pihak, tetapi memberi manfaat ekonomi yang meluas kepada seluruh masyarakat,” katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, menyifatkan kejayaan pelaburan asing seperti Kibing sebagai bukti nyata keupayaan Sabah untuk membangun secara inklusif, bukan sahaja dari aspek ekonomi tetapi juga dalam memartabatkan kesejahteraan rakyat.

“Bila kita bercakap tentang kos sara hidup, kita tidak boleh hanya melihat kepada harga barang semata-mata. Apa yang penting adalah penjanaan pendapatan dan penciptaan peluang pekerjaan,” katanya menambah setiap peluang pekerjaan yang diwujudkan dapat menyumbang kepada pendapatan isi rumah rakyat di Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua warga asing dipenjara, didenda berhubung judi sabung ayam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular