HomeUtamaMerusuh: Lima individu didenda RM2,000

Merusuh: Lima individu didenda RM2,000

Read Time:2 Minute, 17 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Lima individu dalam video tular yang memaparkan pergaduhan sekumpulan wanita transgender telah dijatuhi hukuman denda sebanyak RM2,000 atau empat bulan penjara atas pertuduhan merusuh.

Kesemua tertuduh iaitu Aldimin Kasim, 25; Nikazwan Sharuddin, 25; Azmil Ali, 19; Steven Chin Ying Lok, 25; dan Junidi Joi Abdullah, 26, menukar pengakuan kepada bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus, hari ini.

Ketika menjatuhkan hukuman, Majistret Dzul menasihati kesemua tertuduh agar mengambil iktibar dan
tidak lagi terlibat dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

“Rasanya, tidak perlulah untuk perkara-perkara kecil seperti ini diperbesarkan. Ambil pengajaran atas kejadian yang berlaku dan jangan ulangi perbuatan tersebut pada masa akan datang,” katanya.

Kesemua tertuduh mengaku bersalah kerana menyertai kumpulan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan mencederakan dua individu iaitu seorang wanita transgender dan seorang lelaki, masing-masing berusia 21 dan 35 tahun, dengan menggunakan kekerasan dan keganasan.

Kejadian berlaku pada 25 Februari lalu, kira-kira jam 12.21 tengah hari, di tepi Jalan Api-Api di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah membuat laporan polis pada 26 Februari berhubung insiden diserang oleh sekumpulan transgender yang diketuai oleh salah seorang tertuduh iaitu Aldimin.

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada salah faham yang berlaku sewaktu pengadu (salah seorang mangsa) dan Aldimin berhibur di sebuah pusat hiburan di Penampang pada awal pagi 25 Februari 2025. Susulan itu, mereka telah bersetuju untuk berjumpa di Api-Api Centre bagi menyelesaikan perselisihan faham.

Namun begitu, Aldimin hadir bersama empat lagi individu iaitu Nikazwan, Azmil, Steven, dan Junidi. Semasa pertemuan tersebut, Aldimin tiba-tiba menyerang pengadu dengan menarik rambut dan menumbuk kepala sehingga pengadu rebah. Pengadu mengalami kecederaan luka ringan dan lebam di tangan, siku, lutut dan buku lali.

Rakan pengadu (juga mangsa) yang cuba meleraikan pergaduhan turut dipukul oleh Nikazwan dan tertuduh lain, mengakibatkan kecederaan di hidung, ulu hati dan pendarahan.

Kejadian tersebut disaksikan oleh orang awam, dan video rakamannya tular di media sosial sehingga menarik perhatian umum.

Kesemua tertuduh ditahan polis pada 26 Februari kira-kira jam 11.30 malam susulan laporan polis yang dibuat.

Semasa rayuan, Aldimin, Azmil, Steven, dan Nikazwan yang diwakili oleh Peguam Lim Ming Zoong @ Lawrence, serta Junidi yang tidak diwakili peguam, memohon agar dikenakan hukuman denda. Mereka menyatakan bahawa ini merupakan kesalahan pertama dan meluahkan kekesalan atas perbuatan yang dilakukan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.

Difahamkan, kesemua tertuduh telah membayar denda yang dikenakan.

LINK BERITA TERDAHULU:

RELATED ARTICLES
Utama

Jenazah Allahyarham Tun Ahmadshah selamat dikebumikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular