Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib tidak pernah mengetahui kewujudan mesyuarat tidak rasmi yang mendakwa beliau bersetuju dengan kutipan sumbangan daripada kontraktor.
Sumbangan itu dikatakan berjumlah lebih kurang 27.5 peratus daripada kos projek di setiap bahagian.
Ag Mohd Tahir yang memberi keterangan membela diri di hadapan Hakim Abu Bakar Manat hari ini mendakwa kenyataan berkaitan mesyuarat itu merupakan kenyataan Teo Chee Kong sendiri dan beliau tidak tahu-menahu. Teo adalah Jurutera Air Bahagian Kota Kinabalu pada waktu itu.
Mengenai dakwaan harga “mark up” sebanyak 30 peratus bagi membolehkan kontraktor-kontraktor JANS memberi sumbangan sebanyak 27.5 peratus tanpa menjejaskan keuntungan selepas menyiapkan projek, Ag Mohd Tahir berkata beliau tidak sedar akan kewujudan perkara tersebut.
Ag Mohd Tahir berkata demikian ketika menjawab soalan daripada peguamnya, Datuk Hj Ansari Abdullah berhubung keterangan saksi pendakwaan ke-36, Suhaimi Asbullah.
Semasa perbicaraan pada peringkat pendakwaan, saksi ke-36 (Suhaimi) memberi keterangan mengesahkan kehadiran Ag Mohd Tahir dalam satu mesyuarat bersama jurutera bahagian dan daerah di ibu pejabat jabatan tersebut pada 7 April 2005.
Menurut Suhaimi, selepas mesyuarat itu, satu mesyuarat tidak rasmi telah diadakan yang hanya dihadiri oleh Teo dan jurutera-jurutera dari bahagian dan daerah JANS.
Suhaimi dalam keterangan saksinya juga mendakwa dalam mesyuarat tidak rasmi tersebut Teo telah memaklumkan kepada semua Jurutera Air Bahagian dan Daerah berkenaan perbincangannya dengan Lim Lam Beng yang merupakan Timbalan Pengarah JANS pada waktu itu, dan sepertimana diarahkan dan telah dipersetujui oleh Ag Mohd Tahir selaku Pengarah JANS supaya memungut sumbangan sebanyak lebih kurang 27.5 peratus daripada kos projek yang dilaksanakan di bahagian masing-masing.
Menjawab soalan seterusnya daripada Ansari, Ag Mohd Tahir berkata hubungannya dengan saksi ke-36, adalah seperti biasa, iaitu antara ketua jabatan dan kakitangan yang berurusan melaksanakan tugas-tugas.
Ag Mohd Tahir, 63, dibicarakan bersama isterinya, Fauziah Piut, 57, dan Lim, 66.
Ketiga-tiganya menghadapi 37 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang tunai dan simpanan bank berjumlah RM61.57 juta, selain pemilikan barangan mewah secara haram antara Oktober dan November 2016.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat dan Haresh Prakash Somiah.
Fauziah diwakili oleh Ansari dan Erveana Ansari, manakala Lim dibela oleh Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh, Karpaljit Singh dan Kelvin Wong.
Perbicaraan akan bersambung pada 25 Jun.