Kota Kinabalu : Beberapa kawasan di Sabah dilaporkan turut merasai gegaran akibat gempa bumi kuat yang berlaku di Semenanjung Minahassa, Sulawesi pada jam 8.51 malam tadi.
Antara daerah dilaporkan merasai gegaran adalah di Tawau, Lahad Datu dan Semporna dan kawasan sekitarnya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, gempa bumi kuat itu berukuran magnitud 6.1.
Gempa tersebut berlaku pada koordinat 0.5° Utara dan 121.6° Timur, pada kedalaman 10 kilometer, kira-kira 165 kilometer ke barat dari Gorontalo, Indonesia.
Bagaimanapun tiada ancaman tsunami dikesan terhadap Malaysia.
MetMalaysia meminta orang awam yang merasai gegaran tersebut untuk mengisi borang soal selidik yang disediakan di pautan berikut https://forms.gle/Vgu7R9r3CWz3jvte8
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak panik, mengikuti perkembangan semasa daripada pihak berkuasa, dan mendapatkan maklumat sahih melalui laman rasmi MetMalaysia atau aplikasi MyCuaca. – SABAH MEDIA