Oleh Florieta Diet
Eksklusif
“SAYA sudah 60 tahun… tapi saya masih mahu bekerja.” Luahan ringkas ini, disuarakan oleh seorang warga emas Orang Kelainan Upaya (OKU) yang hadir dalam satu program taklimat kerjaya, menyentuh hati pihak penganjur.
Ia bukan sekadar keluhan, tetapi satu cerminan harapan dan semangat luar biasa golongan yang sering kali dipandang sebelah mata dalam hal peluang pekerjaan.
Program taklimat peluang kerjaya khas untuk golongan OKU ini julung kali dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Masyarakat dan Mesra OKU Sabah (PERKEMOSH) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS). Ia berlangsung pada pagi tadi (3 Mei) di Dewan MPMS, Kota Kinabalu.

Menurut Pengerusi PERKEMOSH, Siti Mahani Sidek, matlamat utama penganjuran adalah untuk membuka jalan dan kesedaran kepada golongan OKU mengenai potensi kerjaya mereka. Ini adalah sejajar dengan saranan kerajaan supaya sekurang-kurangnya satu peratus daripada pekerja dalam sektor awam dan swasta terdiri daripada OKU.
“Kami mulanya mensasarkan kehadiran 20 peserta, tetapi tidak disangka 51 peserta mendaftar dan 37 daripadanya hadir. Sambutan ini sangat menggalakkan dan membuktikan mereka memang perlukan peluang ini,” kata Siti Mahani kepada Sabah Media.
Beliau menjelaskan bahawa program ini menyediakan pendedahan melalui taklimat daripada PERKESO mengenai laluan dan sokongan pekerjaan yang sesuai mengikut jenis ketidakupayaan.
Antara maklumat penting yang dikongsikan ialah: bagi golongan OKU, kelulusan akademik bukanlah penentu utama. PERKESO memaklumkan bahawa majikan lebih menilai kebolehan sebenar seseorang OKU dalam menjalankan tugas, berbanding latar belakang pendidikan.
“Peserta yang hadir terdiri daripada pelbagai latar.. dari OKU fizikal yang hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda, OKU pendengaran, sehingga ke komuniti orang kerdil dari seluruh Sabah. Ada juga antara mereka merupakan atlet Paralimpik, usahawan kecilan, serta mereka yang masih belum bekerja.
“Melalui taklimat ini, bukan saja memberi peluang pekerjaan, tetapi menunjukkan kepada masyarakat bahawa OKU juga berhak diberi tempat dalam pembangunan negara,” ujar Siti Mahani.
Beliau turut memberi contoh, di Hospital Likas yang mempunyai lebih 2,000 kakitangan, tiga pekerjanya adalah OKU. Dengan usaha berterusan, angka ini diharap dapat meningkat dan sasaran kerajaan terhadap kuota satu peratus di setiap agensi kerajaan dan swasta dapat dicapai.
Di sebalik statistik, wajah-wajah peserta yang hadir membawa makna besar. Mereka yang diam, tetapi penuh azam; mereka yang tidak mampu berdiri, tetapi ingin bangkit; mereka yang dianggap kecil, tetapi menyimpan impian besar.
Program ini jelas membuktikan bahawa dengan sokongan yang betul, maklumat yang tepat, dan sedikit ruang, golongan OKU bukan sahaja mampu berdikari tetapi turut menyumbang secara signifikan kepada masyarakat.
“Kami harap program seperti ini akan berterusan dengan sokongan dan bantuan daripada pihak yang prihatin,” katanya.
Beliau menambah, PERKEMOSH amat memerlukan sokongan orang ramai agar badan bukan kerajaan itu dapat terus menghulurkan bantuan kepada golongan OKU melalui penganjuran pelbagai aktiviti khas bagi membangunkan potensi mereka.
Noney Gondolos, 55, dari Kampung Rangalau, Kota Belud, mewakili Persatuan Orang Kerdil Sabah (PROKESA), hadir bersama beberapa ahli persatuan. Katanya, ramai golongan OKU sebenarnya mahu bekerja tetapi kurang akses kepada maklumat dan peluang.

“Saya ada ramai kawan yang mahu bekerja, tetapi mereka tidak tahu ke mana mahu mula. Ramai antara mereka hanya bersekolah hingga Tahun Satu, dan ada yang tidak bersekolah langsung. Selepas hadir program ini, mereka baru tahu sebenarnya ada peluang … asalkan mereka ada kemahiran,” katanya.
Noney, yang juga bertanggungjawab dalam biro media dan publisiti PROKESA, menekankan bahawa selama ini, ramai OKU menganggap jika tidak ada sijil, maka tiada peluang kerja.
“Hari ini, mereka dengar sendiri. Bukan sijil yang diukur, tapi keupayaan atau kebolehan masing-masing. Itulah mesej penting yang dibawa oleh taklimat ini,” tambahnya.
Beliau juga berharap agar tiada diskriminasi terhadap pekerja OKU, sebaliknya mereka perlu diberikan peluang untuk membuktikan kebolehan masing-masing. Sama seperti pekerja lain, golongan OKU juga wajar beri peluang bagi menilai keupayaan mereka secara adil.
“Kami bukanlah mahu dikasihani, tapi kami mahu diberi peluang,” ujar Noney lagi.