HomeUtamaAir berfluorida jadi tumpuan utama Sabah tangani isu karies gigi

Air berfluorida jadi tumpuan utama Sabah tangani isu karies gigi

Read Time:1 Minute, 51 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Tindakan bagi menangani kadar tinggi kejadian karies gigi (kerosakan gigi) di negeri ini, dengan fokus utama kepada penyediaan air berfluorida kepada penduduk.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Dr Roland Chia berkata Jawatankuasa Tindakan itu diumumkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri pada 2023.

“Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah diketuai oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di peringkat persekutuan, manakala di peringkat negeri pula dipandu oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam serta Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib.

“Jadi perkara-perkara ini telah diambil kira termasuk berkaitan karies, fluoridasi, serta keperluan tenaga kerja,” katanya ketika ditemui media sempena Kongres Borneo Ke-13 dan Pameran Perdagangan yang berlangsung di Magellan Sutera Harbour Resort, hari ini.

Dr Roland berkata, kerajaan negeri komited untuk mengatasi isu karies gigi dan Sabah adalah kerajaan pertama yang komited untuk melihat ke atas fluoridasi air.

Jelasnya, mesyuarat teknikal telah diadakan untuk melihat bagaimana untuk melaksanakan fluoridasi air dalam masa terdekat.

“Kami berharap dengan adanya air fluoridasi maka dapatlah mengurangkan kejadian karies gigi (di Sabah),” katanya.

Mengenai isu jurang nisbah doktor gigi kepada populasi penduduk, Dr Roland berkata Jawatankuasa Tindakan juga sedang berusaha untuk melihat bagaimana untuk meningkatkan populasi doktor gigi di Sabah.

Menurut Dr Roland, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong sekiranya Universiti Malaysia Sabah akan memperkenalkan kursus Pergigian bagi meningkatkan populasi pergigian.

“Kita berharap ia akan menjadi kenyataan dan kita pasti akan menyokong kerana apabila kita mempunyai sekolah pergigian, maka kami boleh melatih lebih ramai doktor gigi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan, Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr Thaddius Herman Anak Maling berkata, setakat ini terdapat seramai 306 orang doktor gigi yang berkhidmat di klinik-klinik kerajaan di seluruh negeri, namun beliau tidak mempunyai data bagi sektor swasta.

“Secara keseluruhan, terdapat 44 buah klinik pergigian kerajaan dan 213 klinik swasta di seluruh negeri. Ini menjadikan nisbah doktor gigi kepada penduduk adalah kira-kira satu kepada 4,754 orang.

“Kita kekurangan doktor gigi anak jati Sabah untuk berkhidmat di negeri ini, dan kebanyakan doktor gigi yang ditempatkan di Sabah akan kembali ke Semenanjung atau Sarawak selepas dua tahun berkhidmat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kehadiran pelancong ke Sabah terus meningkat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular