HomeUtamaJalan Lumatai kian terhakis, perlu tindakan segera

Jalan Lumatai kian terhakis, perlu tindakan segera

Read Time:1 Minute, 33 Second

Beaufort : Keadaan Jalan Lumatai di sini yang semakin terhakis akibat bencana banjir yang sering berulang sejak penghujung 2024 menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan penduduk dan pengguna jalan raya.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, sehingga kini, lebih 10 gelombang banjir telah berlaku yang memberi kesan terhadap infrastruktur, keselamatan, dan kesejahteraan penduduk setempat.

Katanya, keadaan Jalan Lumatai kini berada dalam keadaan tidak selamat disebabkan kedudukannya yang terlalu hampir dengan tebing Sungai Padas yang kian menghakis.

“Kita telah menerima aduan daripada pengguna jalan raya mengenai keadaan Jalan Lumatai yang semakin membimbangkan.

“Saya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak konsesi telah meninjau dan meneliti lokasi secara dekat, dan mendapati pembinaan cerun perlindungan perlu disegerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau lokasi tebing yang terhakis di Jalan Lumatai di sini petang tadi.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan turut menyatakan komitmennya untuk terus mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Kerja Raya Sabah bagi mempercepatkan projek mitigasi ini.

Ketika ditanya mengenai peruntukan besar yang diumumkan oleh kerajaan, Ruslan berkata,  bencana alam seperti banjir tidak hanya merosakkan kediaman dan tanaman, malah turut menjejaskan prasarana jalan raya yang penting untuk perhubungan dan ekonomi rakyat.

“Daerah Beaufort setakat ini belum pernah menerima peruntukan khas sebesar yang dicadangkan. Namun, memandangkan kekerapan banjir dan keadaan jalan-jalan utama yang semakin kritikal, saya yakin sudah tiba masanya kerajaan pusat memberi keutamaan kepada Beaufort,” katanya.

Selain Jalan Lumatai katanta, beberapa laluan lain juga menunjukkan tanda-tanda hakisan serius termasuk Jalan Lupak dan Jalan Suasa.

“Situasi ini turut melibatkan kawasan seperti Kampung Tuhu, Kampung Kaundu, Kampung Mengkutung dan Kampung Berumbai, yang berisiko terputus hubungan sepenuhnya jika tiada tindakan segera diambil.

“Sekiranya peruntukan tidak disalurkan segera, hasil pertanian penduduk akan terjejas kerana mereka tidak dapat menghantar hasil keluar. 

“Ini akan memberi kesan kepada pendapatan mereka dan kesejahteraan hidup secara keseluruhan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Ketua Adat agen perubahan komuniti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular