Oleh Wan Azrain Adnan | 3 Mei 2025
KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah memulakan langkah penarikan subsidi telur ayam secara berperingkat dalam usaha menyusun semula keutamaan fiskal negara serta memperkukuh ketahanan kewangan jangka panjang. Langkah ini mencerminkan pendekatan baharu ke arah subsidi bersasar yang lebih efisien.
Pada 30 April lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan subsidi telur dikurangkan daripada 10 sen kepada 5 sen sebiji bermula 1 Mei 2025, sebelum dimansuhkan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025. Menurut kementerian, keputusan ini dibuat berdasarkan kestabilan semasa dari segi bekalan dan kos pengeluaran.
Sepanjang tempoh Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion bagi menampung subsidi telur ayam, bersamaan RM70 juta sebulan—satu angka yang tidak mampan untuk terus ditanggung dalam jangka masa panjang.

Keseimbangan Struktur Ekonomi
Subsidi ini diperkenalkan sewaktu krisis global akibat pandemik COVID-19 dan konflik Ukraine-Rusia yang menyebabkan lonjakan harga makanan ternakan seperti jagung dan soya. Kos makanan menyumbang hampir 70% kepada kos pengeluaran telur, dan akibatnya, ramai pengeluar menghadapi kerugian kerana harga siling kerajaan tidak menampung kos sebenar.
KPKM terpaksa menaikkan kadar subsidi dua kali pada akhir 2022 bagi menstabilkan bekalan—pertama kepada 8 sen dan kemudiannya kepada 10 sen sebiji.
Namun kini, dengan pasaran menunjukkan tanda-tanda kestabilan, kerajaan melihat waktu ini sebagai masa yang sesuai untuk kembali kepada mekanisme pasaran terbuka, selari dengan dasar rasionalisasi subsidi negara yang sedang dilaksanakan.
Reaksi Industri dan Pengguna
Langkah ini menerima pelbagai reaksi. Naib Presiden MCA mempersoalkan kewajaran penamatan subsidi dalam keadaan ekonomi global yang goyah, merujuk kepada perang tarif yang diumumkan Amerika Syarikat ke atas pelbagai negara termasuk Malaysia. Beliau turut menganggarkan kos bulanan sesebuah isi rumah lima orang boleh meningkat sekitar RM15 sebulan sekiranya setiap individu mengambil sebiji telur sehari.
Sebaliknya, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyokong dasar ini sebagai langkah membina ke arah sistem subsidi yang mampan. FOMCA turut menggesa pemantauan harga secara agresif oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengelakkan aktiviti pencatutan.
Sementara itu, Persatuan Peniaga Bakeri dan Mi Malaysia menjangkakan kesan yang minimum kepada ahli mereka, manakala firma penyelidikan TA Securities meramalkan impak sederhana kepada harga dan percaya pengapungan harga telur adalah langkah jangka panjang yang tepat untuk menggalakkan daya tahan pasaran.
Peralihan Secara Terkawal
Untuk mengawal kebimbangan pengguna, KPDN menegaskan bahawa harga kawalan kekal walaupun subsidi dikurangkan, dan peniaga masih tertakluk kepada struktur harga sedia ada sehingga Ogos 2025. Harga hanya akan diapungkan selepas itu, berdasarkan penawaran dan permintaan pasaran.
Langkah ini adalah kesinambungan kepada keputusan terdahulu dalam pengapungan harga ayam daging pada November 2023, yang menyaksikan kestabilan harga kekal meskipun tanpa siling harga. Malah, harga pasaran pada Disember 2024 masih berada dalam julat berpatutan menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), dan tidak melebihi siling RM11.40 sekilogram.

Sepanjang tempoh 2014–2023, harga runcit telur ayam meningkat secara sederhana:
- Gred A: 38 sen kepada 48 sen (+26%)
- Gred B: 37 sen kepada 45 sen (+22%)
- Gred C: 36 sen kepada 43 sen (+19%)
Ini menunjukkan rakyat menikmati harga telur yang stabil untuk tempoh sedekad.
Masa Sesuai Laksana Pembaharuan
Data terkini DOSM turut menunjukkan kadar sara diri (Self-Sufficiency Ratio, SSR) telur pada 2023 berada pada 106.5%, menandakan pengeluaran melebihi keperluan dalam negara.
Dengan itu, kerajaan melihat ini sebagai masa yang tepat untuk menamatkan subsidi dan membenarkan pasaran menentukan harga telur. Penjimatan daripada subsidi ini boleh digunakan semula untuk agenda pembangunan negara serta memperkukuh jaringan keselamatan sosial secara bersasar.
Jika dilaksana secara berhemah dan dipantau rapi, pengapungan harga ini dijangka mampu menyeimbangkan keperluan antara keterjangkauan harga bagi pengguna dan kelangsungan bekalan oleh pengeluar.