HomeUtamaWanita pemacu utama pembangunan mampan di Sabah - Azizah

Wanita pemacu utama pembangunan mampan di Sabah – Azizah

Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, menyatakan sokongan penuh terhadap seruan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk memperkasakan wanita melalui akses lebih luas kepada peluang ekonomi, pendidikan dan politik.

Azizah berkata seruan itu tepat pada masanya dan selari dengan visi IDS untuk memperkukuh kepimpinan wanita di semua peringkat masyarakat.

“Pemerkasaan wanita bukan sekadar isu kesaksamaan, tetapi pemacu utama pembangunan mampan. Melabur dalam wanita bermakna melabur untuk masa depan Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

IDS menurutnya telah mengambil langkah proaktif menerusi penubuhan Jawatankuasa Inisiatif Kepimpinan Wanita (WLIC) pada 10 Julai 2024, yang bertujuan memperkukuh peranan wanita dalam kepimpinan, ekonomi dan keusahawanan, selain menyediakan bimbingan profesional sepanjang kerjaya.

Sejak ditubuhkan, WLIC telah menganjurkan pelbagai program seperti Sesi Meja Bulat bersama agensi kerajaan, GLC, sektor swasta dan NGO, serta Town hall Bajet Wanita Negeri Sabah. Inisiatif ini menyumbang kepada penggubalan Pelan Induk Kepimpinan Wanita Negeri Sabah yang dijangka menjadi asas kepada penubuhan Kementerian Wanita Negeri.

Beliau yakin WLIC mampu menjadi mekanisme pemantauan berkesan dalam memastikan kemajuan penyertaan wanita dalam kepimpinan dan proses membuat keputusan.

Selaras Belanjawan Negeri Sabah 2025, IDS turut bekerjasama dengan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) melancarkan Program Keusahawanan Wanita Muda: Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG) pada 27 Februari lalu.

Program itu bukan sekadar menawarkan pembiayaan, tetapi turut menyediakan latihan perniagaan, bimbingan dan sokongan pemasaran dengan struktur sokongan selama 18 bulan menerusi Majlis Penasihat Keusahawanan yang ditubuhkan khas.

IDS bertanggungjawab terhadap penyelidikan manakala SCC menguruskan kewangan dan pembiayaan. Setakat ini, sebanyak 16 permohonan berjumlah RM425,000 telah diterima, menunjukkan minat tinggi wanita muda terhadap peluang perniagaan.

Terbaharu, pada 26 April lalu, program daerah bertajuk ‘Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi’ telah dilaksanakan di Beaufort sebagai permulaan pelaksanaan awal DAYANG di kawasan luar bandar.

“IDS komited memastikan setiap inisiatif yang dijalankan bukan sahaja inklusif tetapi memberi impak langsung terhadap kualiti hidup wanita di Sabah,” tambah Azizah.

Beliau menegaskan pemerkasaan wanita adalah strategi penting dalam pembangunan negeri dan IDS akan terus menyokong usaha Ketua Menteri ke arah masyarakat yang lebih progresif dan berdaya tahan menerusi penglibatan aktif wanita Sabah.

RELATED ARTICLES
Isu tempatanUtama

Bot pukat jerut bilis ditahan, langgar syarat lesen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular