TONGOD: Ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) disifatkan sebagai barisan hadapan yang paling hampir dengan rakyat dan memainkan peranan penting dalam menyampaikan dasar kerajaan di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, pelantikan ahli majlis bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan tanggungjawab besar dalam memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat di daerah masing-masing terus terpelihara.
“Kedudukan ahli majlis ini sangat dekat dengan rakyat. Mereka adalah mata dan telinga kerajaan yang perlu sentiasa peka terhadap aduan serta keperluan penduduk setempat,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Daerah Tongod bagi sesi 2025-2027 di sini, pada Selasa (6 Mei).
Masiung turut mengingatkan semua ahli majlis supaya menjalankan tugas dengan penuh integriti, mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan mengutamakan kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi.
Katanya, sebagai wakil kerajaan di peringkat tempatan, ahli majlis perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakat serta memelihara nama baik institusi PBT.
“Saya tidak mahu dengar ada ahli majlis yang salah guna jawatan untuk kepentingan sendiri, lebih-lebih lagi menyalahgunakan kuasa dalam urusan pentadbiran atau projek kecil-kecilan.
“Kita bukan mahu popular, tetapi mahu berbakti kepada masyarakat dengan amanah yang diberi,” tegas beliau.
Menurut Masiung, pelantikan ahli majlis daerah dibuat berdasarkan merit dan kebolehan individu, bukan semata-mata kerana jawatan dalam parti politik.
“Kita tidak melantik ahli majlis hanya kerana mereka aktif dalam politik. Sebaliknya, kita mahu individu yang berkebolehan, berpengetahuan dan komited dalam menyumbang kepada pembangunan daerah,” katanya.
Beliau turut menyatakan rasa bangga kerana komposisi ahli majlis daerah kali ini terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk profesional, aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta golongan belia.
“Kepelbagaian ini memberi kelebihan kerana mereka membawa perspektif berbeza yang boleh membantu memperkasakan pentadbiran tempatan dan menyantuni keperluan rakyat dari semua segmen masyarakat,” ujarnya.
Masiung turut menasihatkan ahli majlis agar sentiasa turun padang, menghadiri program kemasyarakatan dan berinteraksi secara langsung dengan penduduk.
“Jangan tunggu rakyat datang ke pejabat, sebaliknya dekati mereka di kampung, taman perumahan atau semasa program komuniti. Di situlah kita dapat kenal pasti isu sebenar yang dihadapi rakyat,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Pejabat Daerah Tongod yang juga Pegawai Daerah, Yuesri Ismail Yusof; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tongod, Jack Anas Amai serta pemimpin setempat di situ.