Oleh MOHAMAD ISA ABD JALIL
Isu pematuhan kepada kadar gaji minimum yang ditetapkan kerajaan terus menjadi perhatian, khususnya di negeri Sabah. Walaupun kadar minimum ini diwujudkan bagi melindungi kesejahteraan pekerja dan memastikan keadilan dalam pasaran buruh, masih terdapat segelintir majikan yang gagal mematuhinya.
Menurut peraturan semasa, kadar gaji minimum di Malaysia telah ditetapkan pada RM1,700 sebulan bermula 1 Februari 2025. Kadar ini terpakai di seluruh negara termasuk Sabah. Ia juga terpakai kepada pekerja sambilan harian (PSH), dengan kadar harian minimum sebanyak RM80 sehari.
Bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, penangguhan selama enam bulan diberikan dan mereka wajib mematuhi kadar ini mulai 1 Ogos 2025.
REALITI SEMASA DAN CABARAN
Di Sabah, sektor seperti perladangan, peruncitan dan perkhidmatan sering menjadi tumpuan isu ini. Ada majikan mendakwa mereka tidak mampu menampung kos operasi jika dipaksa mengikuti gaji minimum.
Malah, ada juga yang mendakwa pekerja tidak layak menerima gaji minimum kerana kekurangan kemahiran atau prestasi kerja yang rendah.
Secara realistik, masyarakat umum juga memahami — bagi perniagaan kecil atau syarikat yang baru mula beroperasi, kekangan kewangan mungkin menyebabkan kesukaran mematuhi sepenuhnya kadar gaji minimum.
Namun, alasan yang sama tidak boleh diterima daripada majikan besar, lebih-lebih lagi agensi yang mempunyai sumber kewangan kukuh seperti badan berkanun, syarikat milik kerajaan (GLC), dan kontraktor swasta yang mendapat tender kerajaan.
Namun begitu, hasil kajian awal saya mendapati, ada “majikan besar” di Sabah yang masih mengekalkan kadar elaun pekerja sambilan harian (PSH) serendah RM54 sehari, walaupun pekeliling kerajaan telah menetapkan minimum RM80 sehari.
Majikan “besar” ini sepatutnya mencontohi syarikat-syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berusaha keras menyahut aspirasi Madani dalam menoktahkan kadar kemiskinan negara. Cuba kita fikir dari hati nurani, letak diri kita di tempat mereka: RM54 sehari, darab 20 hari bekerja, mereka hanya mendapat RM1,080 lebih sebulan gaji kasar dan belum tolak EPF dan PERKESO. Ini sudah tergolong kategori fakir miskin.
Ironinya, pekerja PSH ini diminta bekerja dengan tanggungjawab dan beban tugas setaraf dengan staf tetap.
KESAN KETIDAKPATUHAN
Kegagalan membayar gaji minimum memberi kesan buruk kepada pekerja dan ekonomi secara keseluruhan. Pekerja yang menerima gaji rendah berdepan tekanan kewangan yang serius, menyebabkan kualiti hidup yang rendah dan potensi masalah sosial seperti hutang berlebihan dan kesihatan mental terjejas.
Lebih membimbangkan, dengan gaji yang begitu kecil, pekerja-pekerja ini akan sentiasa mencari jalan untuk berpindah ke tempat kerja lain yang boleh memberi mereka gaji lebih tinggi. Fenomena ini menyebabkan syarikat membuang masa, dana dan tenaga yang telah dilaburkan untuk melatih pekerja tersebut. Akhirnya, kemahiran yang diasah itu akan dimanfaatkan oleh syarikat lain. Ini bukan sahaja merugikan majikan dari segi kos latihan, malah menjejaskan kestabilan operasi perniagaan.
Bagi majikan, ketidakpatuhan bukan sahaja mengundang tindakan undang-undang dan denda yang berat — sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja yang terjejas — tetapi juga boleh menjejaskan reputasi perniagaan. Pelabur kini semakin mengambil kira amalan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebelum melabur dalam sesebuah syarikat atau negeri.
MAJIKAN SEBAGAI RAKAN PEMBANGUNAN
Majikan harus sedar bahawa pematuhan kepada gaji minimum bukan sekadar mematuhi peraturan tetapi satu pelaburan jangka panjang. Pekerja yang dibayar dengan adil lebih bermotivasi, produktif dan setia kepada majikan. Ia juga mengurangkan kadar pusing ganti pekerja dan kos latihan kakitangan baharu.
Kerajaan negeri dan persekutuan juga digesa menyediakan insentif kepada majikan yang mematuhi atau melebihi kadar gaji minimum. Selain itu, audit dalaman gaji harus dilaksanakan secara berkala oleh syarikat bagi memastikan mereka terus mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
PERANAN KERAJAAN
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah diseru untuk mempergiatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan. Kempen kesedaran juga perlu dilaksanakan secara agresif untuk mendidik majikan dan pekerja tentang hak dan tanggungjawab masing-masing.
Kerajaan juga boleh bekerjasama dengan persatuan industri dan dewan perniagaan untuk mewujudkan dialog yang konstruktif bagi mencari penyelesaian kepada cabaran kos operasi, tanpa mengorbankan hak pekerja.
PENUTUP
Mematuhi kadar gaji minimum bukan sahaja soal undang-undang tetapi soal keadilan sosial. Majikan Sabah perlu mengambil tanggungjawab ini dengan serius dan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain. Dengan memastikan pekerja menerima gaji yang adil, kita bukan sahaja menghormati hak asasi manusia tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif untuk semua.