HomeUtamaMahkamah Tinggi benarkan permohonan SABAR menambah 500 dokumen

Mahkamah Tinggi benarkan permohonan SABAR menambah 500 dokumen

Read Time:1 Minute, 52 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) untuk mengemukakan dokumen tambahan dalam tindakan mereka mencabar Akta Laut Wilayah (TSA) 2012.

Keputusan itu dibuat oleh hakim Alexander Siew How Wai hari ini.

Alexander membenarkan permohonan plaintif untuk mengemukakan 500 halaman dokumen tambahan daripada arkib British, yang terdiri daripada surat-menyurat berkaitan dengan North Borneo Order in Council (Alteration of Boundaries) 1954 dan North Borneo Order in Council (Definition of Boundaries) 1958.

Pada September 2023, saman pemula telah difailkan oleh Pengerusi Sabar Datuk Dr Johan Ariffin Samad, yang mempertikaikan kesahihan TSA, yang mengehadkan sempadan maritim Sabah kepada hanya tiga batu nautika.

Pihak plaintif menamakan Kerajaan Persekutuan Malaysia sebagai defendan tunggal.

Pihak plaintif memohon deklarasi bahawa Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 tidak terpakai, tidak berperlembagaan, tidak sah dan batal di wilayah Sabah selepas 19 Jun 2012;

Deklarasi bahawa Wilayah Sabah, selepas pembatalan Proklamasi Darurat 1969 pada 19 Jun 2012, termasuk pelantar benua di bawah Perintah Majlis North Borneo (Alteration of Boundaries) 1954;

Deklarasi bahawa Ordinan Perlombongan 1960 adalah sah di Sabah selepas 19 Jun 2012;

Deklarasi bahawa Seksyen 3(3) Akta Laut Wilayah 2012 yang mengehadkan perairan wilayah Sabah kepada tiga batu nautika tidak terpakai, tidak berperlembagaan, tidak sah dan batal setakat 22 Jun 2012;

Deklarasi bahawa perairan wilayah Sabah, selepas pembatalan Proklamasi Darurat 1969 pada 19 Jun 2012, termasuk 12 batu nautika di bawah Konvensyen Laut Wilayah dan Zon Bersebelahan 1958 serta Perintah Majlis North Borneo (Definition of Boundaries) 1958.

Selain itu, plaintif juga memohon kos dan sebarang relif lain yang difikirkan wajar.

Terdahulu, peguam defendan memberitahu mahkamah bahawa pihak mereka telah bersetuju dan tiada bantahan terhadap permohonan tersebut serta memohon tiga bulan untuk mengemukakan afidavit sebagai jawapan.

Alexander memerintahkan agar plaintif mengemukakan 500 dokumen tersebut sebelum 23 Mei; defendan untuk mengemukakan apa-apa jawapan dan dokumen lain sebelum 22 Ogos dan plaintif untuk mengemukakan sebarang balasan sebelum 22 September.

Beliau menetapkan 3 Oktober untuk sebutan lanjut berhubung kes ini.

Plaintif diwakili oleh peguam Roland Cheng, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, mewakili pihak defendan.

LINK BERITA TERDAHULU:

RELATED ARTICLES
Utama

Warga asing terlepas hukuman mati, terima 33 tahun penjara dan sebatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular