HomeUtamaInfrastruktur bekalan tenaga dari Sarawak ke Sabah siap, tunggu sambungan talian Sarawak

Infrastruktur bekalan tenaga dari Sarawak ke Sabah siap, tunggu sambungan talian Sarawak

Read Time:2 Minute, 20 Second

Oleh Hanafi Mohd Ali, Normimie Diun

Foto/video: Sabah Media/Yusof Mohamad, Mohd Zainal Zamzuri

SIPITANG: Projek penyambungan bekalan elektrik antara Sarawak dan Sabah kini memasuki fasa akhir susulan siapnya infrastruktur utama di pihak Sabah sejak September tahun lalu, menandakan kesiapsiagaan negeri ini untuk menerima tenaga boleh diperbaharui dari Sarawak.

Projek sambungtara talian grid penghantaran 275kV itu dilaksanakan Sabah Electricity bersama Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) iaitu agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia (PETRA).

Mohd Yaakob (tengah) semasa sidang media selepas lawatan ke PMU Mengalong di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity), Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, pembinaan Pencawang Masuk Utama (PMU) Mengalong 275kV dan talian penghantaran sepanjang tujuh kilometer ke sempadan Sarawak telah siap sepenuhnya dan kini mula beroperasi, dengan kos pelaksanaan berjumlah RM35 juta.

“Infrastruktur ini menjadi ‘gateway’ (pintu masuk) utama bagi kemasukan tenaga dari Sarawak, dan turut menyokong operasi dari sumber penjanaan Hidro Ulu Padas kelak,” katanya kepada media selepas melawat tapak PMU berkenaan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata Sabah masih menunggu penyambungan talian dari pihak Sarawak Energy yang sedang membina sambungan melalui sistem Northern Grid dari Lawas.

“Projek ini sepatutnya siap tahun lalu, namun difahamkan mereka menghadapi kekangan pembinaan termasuk halangan laluan. Kita sudah bersedia sepenuhnya dan hanya menunggu sambungan terakhir dari Sarawak,” katanya.

Menerusi perjanjian Power Exchange Agreement yang telah dimeterai, Sabah dijangka mengimport 30 megawatt (MW) tenaga dari Sarawak pada fasa awal, dengan potensi meningkat sehingga 300 MW bagi menampung keperluan serta memperkukuh margin rizab tenaga negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yaakob turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu keselamatan melibatkan kecuaian kontraktor luar, khususnya yang beroperasi di luar bidang kuasa Sabah Electricity.

“Dalam dua tahun ini, kita merekodkan 14 insiden kemalangan, termasuk satu kes maut di Marak Parak ketika kerja rintis dijalankan.

“Sebahagian besar kes melibatkan kontraktor telekomunikasi yang tidak sedar mereka bekerja berhampiran talian voltan tinggi,” katanya.

Kes terbaharu, katanya, berlaku di Kota Marudu dan Beaufort, membabitkan kontraktor telco yang menjalankan kerja berhampiran talian elektrik tanpa pengetahuan asas tentang bahaya yang ada.

Sehubungan itu, Sabah Electricity kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telekomunikasi untuk melaksanakan kursus dan ceramah keselamatan kepada semua pekerja di lapangan.

“Kita mahu semua kontraktor telco memiliki Tenaga Safety Passport, seperti yang diwajibkan kepada kontraktor elektrik Sabah Electricity, bagi memastikan tahap kesedaran keselamatan dipertingkatkan dan tragedi dapat dielakkan,” tegas beliau.

Dalam masa sama, Mohd Yaakob memaklumkan bahawa Sabah kini terlibat dalam kajian sambungan tenaga rentas sempadan menerusi inisiatif ASEAN Power Grid, termasuk sambungan ke Kalimantan Utara dari Tawau serta ke Filipina melalui Kudat dan Lahad Datu.

“Kajian kebolehlaksanaan sedang dijalankan dengan sokongan ASEAN Centre for Energy. Esok kita akan adakan mesyuarat bersama Perusahaan Listrik Negara (PLN) di Jakarta untuk membincangkan sambungan ke Kalimantan menjelang 2030,” jelasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular