HomeUtamaSuami Pamela Ling Didakwa Palsu Sijil Halal Daging Import

Suami Pamela Ling Didakwa Palsu Sijil Halal Daging Import

Read Time:2 Minute, 43 Second

Kuala Lumpur : Kes penculikan Pamela Ling isteri kepada ahli perniagaan Malaysia, Thomas Hah Tiing Siu semakin panas apabila The Edge melaporkan dokumen mahkamah difailkan Ling di Singapura turut mendedahkan dakwaan bahawa Hah secara salah telah mengisytiharkan produk daging tanpa sijil halal sebagai halal bertujuan mengeksploitasi kadar cukai import yang lebih rendah.

Menurut laporan The Edge, tiga pegawai SPRM menemui abang Ling pada Julai 2024 untuk mengetahui keberadaan wanita itu manakala bapanya kemudian dimaklumkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu menyoal siasat Ling berhubung dakwaan bahawa suaminya  mengimport daging tanpa sijil halal yang dijual sebagai daging halal.

Ling turut mendakwa akaun bank bapanya di Malaysia dibekukan kerana siasatan SPRM ke atas perniagaan keluarganya, malah dalam beberapa pertemuan, bapanya didakwa dimaklumkan bahawa siasatan terhadapnya akan dihentikan jika dia dapat memujuk Ling memindahkan harta sepencarian kepada suaminya namun Ling dilaporkan enggan menuruti arahan itu.

Pada Oktober 2024, Ling diberitahu pegawai Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura (CPIB) bahawa dia perlu menghadiri pertemuan dengan SPRM pada 29 Oktober 2024 di pejabat CPIB.

The Edge melaporkan selain isu daging halal, pegawai SPRM turut menyoal Ling berhubung Sky Vantage Pte Ltd, yang dikatakan diuruskan bapanya dan sedang disiasat di Malaysia sebagai perantara jualan diesel.

Ling dilapor bersedia untuk memberi kerjasama terhadap siasatan yang dijalankan SPRM namun beliau memohon supaya sebarang pertemuan selepas itu diadakan di Singapura atau secara dalam talian atas alasan dua anaknya yang menghadapi masalah kesihatan kronik dan sedang menerima rawatan di Singapura.

Bagaimanapun Ling diarahkan hadir di pejabat SPRM Johor Bahru pada 30 Oktober 2024 untuk membantu siasatan, tetapi beliau enggan kerana bimbang dengan keselamatannya selain turut mengaitkan suaminya sebagai seorang yang berpengaruh.

Lapor The Edge lagi, Ling mendakwa tandatangannya telah dipalsukan pada Julai 2023 dalam beberapa dokumen pemindahan saham dan resolusi lembaga yang mengakibatkan pemindahan lebih separuh pegangan sahamnya dalam Multi Galaxy Pte Ltd (dahulunya Joinland Group Pte Ltd) kepada Hah. Syarikat itu terlibat dalam penyewaan hartanah.

Ling dalam permohonan semakan kehakimannya juga mendakwa penahanan, sekatan perjalanan dan tindakan pihak berkuasa Malaysia terhadapnya bertujuan memaksa dirinya menggugurkan tuntutan berkaitan harta sepencarian dan pertikaian lain dengan Hah.

The Edge memetik afidavit bahawa Ling pada Disember 2023 telah mengadu kepada Pihak Pengawalseliaan Korporat dan Perakaunan (ACRA) Singapura mempertikaikan kesahihan pemindahan saham itu dan turut membuat laporan polis di Singapura yang menuduh Hah memalsukan tandatangannya.

Dilaporkan polis Singapura telah bertindak merampas dokumen yang dikatakan mempunyai tandatangan palsu untuk tujuan analisis forensik.

Merujuk dokumen mahkamah yang dipetik The Edge itu, Ling berkata: “Hah jelas bimbang akan kesan daripada pemalsuan dokumen yang dipertikaikan dan kemungkinan saya memulakan tindakan undang-undang mengenai perkara itu.”

Ling  selain itu turut mendakwa Hah memanipulasi SPRM sebagai alat untuk memaksa beliau menyelesaikan pertikaian antara mereka, khususnya berhubung dakwaan bahawa Hah memalsukan tandatangan pada dokumen terbabit.

Media melaporkan pada 2 Mei lalu, keluarga Ling mendedahkan wanita berusia 42 tahun itu diculik ketika dalam perjalanan untuk bertemu pegawai SPRM pada 9 April untuk membantu siasatan pengubahan wang haram sebelum tiba di lokasi.

Pemandu Grab yang membawa Ling mendakwa keretanya dihentikan individu berpakaian seragam polis yang yang kemudiannya memaksa Ling keluar dari kenderaan dan sebelum memaksanya menandakan perjalanan sebagai “selesai”.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan polis menyiasat kemungkinan suami Ling terlibat dalam penculikannya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular