HomeUtamaHasrat ibu tunai haji bersama keluarga tercapai selepas empat kali menangguh

Hasrat ibu tunai haji bersama keluarga tercapai selepas empat kali menangguh

Read Time:1 Minute, 57 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

Tawau : Hasrat seorang ibu, Patemah Wadan,63, untuk menunaikan ibadah haji bersama lapan lagi ahli keluarganya tercapai selepas empat kali menangguhkan pemergian ke Tanah Suci sejak 2018.

Patemah akan ditemani suaminya Musa Sulaiman,63, serta tiga anak lelakinya Umar Khalid Musa,36,; Saad Salahuddin Musa,32 dan Amir Azizi Musa,30.

Lebih manis lagi apabila menantu Patemah iaitu Maznah Massi,36,Intan Mariana Maliki, 32, dan Afiqah Hamilton Hanifah,30,turut sama terpilih menunaikan haji mengikuti mahram masing-masing selain adiknya Salmah Wading,57.

Berkongsi kisah manis itu, Patemah berkata, beliau mula mendaftar haji pada tahun 2004 dan suami serta anaknya pula mendaftar pada 2007.

Namun katanya, impian untuk menunaikan haji itu terpaksa ditangguh selama empat kali iaitu pada tahun 2018, 2020, 2022 dan 2023 atas beberapa masalah yang dihadapi termasuk anak-anak yang masih bersekolah pada ketika itu.

“Saya tangguh sebab masa itu anak-anak masih belajar. Ada yang baru habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ada yang baru masuk universiti, ada pula yang baru mula kerja. Saya tidak sampai hati mahu tinggalkan mereka dalam keadaan macam tu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media sebelum berlepas ke Tanah Suci pada Ahad.

Patemah bersama keluarganya merupakan antara 109 bakal jemaah haji Sabah yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.10 malam tadi menerusi penerbangan khas KT058s.

Patemah mengakui tidak menyangka apabila sekali lagi dipanggil menjadi tetamu Allah pada tahun ini dan bertuah apabila kesemua mereka dipanggil serentak.

“Bila dapat tawaran kursus, saya tanya anak-anak sama ada boleh pergi ke tahun ni, mereka jawab boleh mak, semua dah lapang, semua dah kerja. Saya terus cakap, ini rezeki kita,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai simpanan di Tabung Haji (TH) Patemah berkongsi mula menyimpan di TH seawall tahun 1989 menerusi potongan gaji untuk kesemua anaknya.

“Saya yang uruskan simpanan mereka. Setiap bulan potong gaji untuk akaun haji. Suami pun sama. Dari dulu lagi kami dah rancang supaya satu hari nanti boleh pergi sama-sama,” katanya.

Ketiga-tiga menantu perempuan juga turut serta kerana masing-masing pergi bersama suami sebagai mahram.

“Empat kali tangguh… tapi Allah bagi lebih dari yang saya minta. Dapat pergi sekali dengan suami, anak-anak, menantu dan adik. Saya tak tahu nak cakap, syukur sangat-sangat,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Dua cedera melecur dalam kebakaran lori bawa tong gas di Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular