HomeUtamaMA63: Pelaksanaan autonomi Sabah perlu disegerakan – Yvonne

MA63: Pelaksanaan autonomi Sabah perlu disegerakan – Yvonne

Read Time:1 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU: Ketua Mudanita Parti Maju Sabah (SAPP), Yvonne Yong menegaskan bahawa seruan “Sabah untuk Rakyat Sabah” bukan bermaksud mahu meminggirkan pihak lain, sebaliknya menuntut hak penentuan nasib sendiri sebagaimana yang dijamin dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, tuntutan supaya MA63 dihormati bukanlah isu lapuk, sebaliknya satu keperluan demi memastikan masa depan yang adil dan saksama untuk rakyat Sabah.

“Ini bukan soal menyalahkan sesiapa. Ia mengenai pertanggungjawaban. Dalam politik persekutuan, Sabah telah mengalami ketidakadilan struktur selama beberapa dekad bukan kerana kita tiada perpaduan atau visi, tetapi kerana sistem persekutuan yang sering mengabaikan hak dan sumber kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, isu berkaitan kekayaan hasil minyak, kuasa imigresen dan autonomi yang dijanjikan bukan semata-mata bersifat emosi, sebaliknya ia adalah hak perlembagaan yang termaktub dalam MA63 serta Perlembagaan Persekutuan.

“Mengabaikan fakta ini sama seperti menafikan perjuangan berdekad lamanya oleh pemimpin, komuniti dan masyarakat sivil yang menuntut hak sah milik kita,” ujarnya.

Yvonne berkata, rakyat Sabah harus diperkasakan dengan kebenaran dan sejarah, bukan sekadar didorong untuk “kelangsungan hidup” tetapi sebaliknya dilayan sebagai rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia.

“Sabah untuk rakyat Sabah bukan bermaksud eksklusif atau menolak pihak lain, tetapi menuntut supaya rakyat Sabah diberi hak untuk membentuk masa depan sendiri tanpa perlu tunduk kepada kehendak Malaya,” katanya lagi.

Beliau menambah, kemajuan sejati hanya akan tercapai apabila ada pertanggungjawaban dan visi yang seimbang dalam pelaksanaan dasar, khususnya berkaitan pelaksanaan sebenar autonomi bagi Sabah dan Sarawak.

“Langkah paling berkesan ialah Kerajaan Persekutuan mengiktiraf dan melaksanakan status Sabah serta Sarawak sebagai negeri autonomi, sejajar dengan semangat dan perjanjian asal pembentukan Malaysia,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular